Bella beritahu dia diikat, dicili, dijirus air panas-Saksi.

KUALA LUMPUR – Seorang saksi pendakwa memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu bahawa seorang remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella, 13, menceritakan bahawa dia diikat, dicili dan dijirus dengan air panas.

Zurianty Sudin, 39, berkata demikian ketika prosiding kes Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa atas kesalahan menganiaya, mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan sindrom Down sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi di hadapan Hakim Izralizam Sanusi, lapor Sinar Harian.

Zurianty yang menggelar dirinya sebagai ‘mommy’ berkata, perkara itu dimaklumkan ketika dia membawa Bella ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan menaiki ambulans.

Menjawab soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas, saksi pendakwaan pertama itu berkata, dia mengetahui perkara tersebut ketika berbual dengan Bella.

“Saya tanya apa dah jadi, Bella cakap dia kena cili, jirus air panas dan kena ikat kemudian dia ada beritahu beberapa nama.

“Setibanya di HKL, saya nampak Bella macam tidak larat dan kakinya sakit, tapi saya tak boleh pegang, sebab saya bimbang Bella mungkin dijangkiti Covid-19,” katanya dalam keadaan sebak.

Zurianty juga berasa kesal kerana sepanjang berada di HKL, Siti Bainun tidak pernah bertanya khabar mengenai tahap kesihatan Bella.

Sebaliknya dia berkata, Siti Bainun hanya mempersoalkan tindakannya menempatkan anak-anak angkat (Rumah Bonda) ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Ketika ditanya mengenai keperibadian Bella, Zurianty berkata, remaja itu merupakan seorang yang penyayang dan boleh membancuh susu untuk bayi-bayi di Rumah Bonda.

Zurianty: Sampaikan saya cakap anak sindrom Down jaga bayi sindrom Down, itu yang saya ulang cakap kepada ‘umi’ Rumah Bonda dan sesiapa yang mengenali.

Zilfinaz: Siapa lagi lagi yang sindrom Down di rumah itu?

Zurianty: Dua bayi berusia tiga dan dua tahun.

Zilfinaz: Jadi siapa yang jaga Bella?

Zurianty: Saya tak pernah nampak sesiapa yang uruskan Bella.

Dalam prosiding itu, pembelaan diwakili peguam Nur Aminahtul Mardiah Md Nor.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun tahun ini, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Rumah Bonda yang terletak di Jalan Kukuban, dikenakan tindakan sita, pada 21 Julai 2021 selepas didapati beroperasi secara haram sejak 2019 dan tidak berdaftar dengan JKM.

Perbicaraan bersambung esok. -Buletin TTKM-




LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik: