Pewartaan pelitup muka bukan perubatan dengan cop sirim ditangguhkan

Kuala Lumpur, 8 April: Setelah mendapat bantahan pelbagai pihak, akhirnya Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan yang dikuatkuasa 4 Julai depan ditangguhkan kepada 1 Januari tahun hadapan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semalam berkata, penangguhan itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas dari umum selepas perkara itu diwartakan pada 5 April lepas.

“Kita telah berbincang petang ini untuk memberi peluang kepada industri dan pengguna bagi membuat penyesuaian,” katanya.

Menurutnya, selepas pengumuman pewartaan dibuat, kementerian menerima banyak maklum balas termasuklah keresahan pengguna.

“Pengguna fikir mungkin berlaku kenaikan harga pelitup muka namun SIRIM QAS International Sdn Bhd telah memberi jaminan akan mengenakan caj yang rendah kepada pengimport dan pengilang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi libat urus bersama industri sempena pewartaan dan penguatkuasaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan dan Peranti Rokok Elektronik dekat sini pada Khamis, lapor Sinar Harian.

Dalam pada itu, Alexander berkata, pelitup muka yang berasaskan fabrik juga dalam kategori yang sama dan perlu mendapat pengesahan dari SIRIM.

Terdahulu, pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan diwajibkan membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM pada kotak atau bungkusan yang mudah dilihat pengguna apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mewartakan produk tersebut pada 5 April lepas.

KPDNHEP dalam kenyataan berkata penandaan MS SIRIM hendaklah diperoleh pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd, iaitu pihak berkuasa yang dilantik kementerian.

Menurut KPDNHEP, pewartaan itu bertujuan memastikan pelitup muka bukan perubatan yang dihasilkan mahupun diimport mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan.

“Dengan adanya penandaan MS SIRIM pada pelitup muka bukan perubatan menunjukkan ia telah mematuhi standard, berkualiti dan selamat digunakan.

“Pewartaan ini adalah inisiatif kerajaan prihatin atas semangat Keluarga Malaysia bagi menjaga kesejahteraan rakyat dan melindungi kepentingan pengguna.

“KPDNHEP berharap isu lambakan pelitup muka bukan perubatan yang tidak berkualiti dalam pasaran negara akan dapat diatasi dengan pematuhan standard oleh pengilang dan pengimport,” kata kementerian itu.

Pewartaan itu dibuat dalam Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan), di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Menurut kementerian itu, tindakan penguatkuasaan boleh diambil sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pengilang dan pengimport. Syarikat yang tidak mematuhi arahan boleh didenda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM500,000.

Bagi individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi selama tempoh lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Walaubagaimanapun, menteri semalam menjelaskan denda bagi individu tersebut hanya akan dikenakan ke atas PENGILANG DAN PENGIMPORT sahaja yang merupakan sebuah entiti syarikat ataupun individu yang merupakan pengilang atau pengimport.

“Pengguna tidak akan dikenakan apa-apa tindakan sekiranya menggunakan pelitup muka bukan perubatan tanpa penandaan SIRIM.” katanya.

Ditanya mengapakah kementerian melakukan pusingan -U (u-turn) , menteri menafikan perkara tersebut.

“Ini bukan u-turn, ini kami sensitif kepada kehendak rakyat. Kalau kata u-turn, ini u-turn baik untuk rakyat. Jangan buatkan ia (u-turn) perkara negatif, ia perlu dihargai” -Buletin TTKM-

Sidang media penuh, ehsan Buletin TV3:




LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik: