Siti Bainun arah saya gigit perut Bella, pancutkan air panas dari picagari – saksi.

Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, hadir hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Fathil Asri

Kuala Lumpur, 8 April: Seorang penghuni Rumah Bonda memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat bahawa dia diarahkan oleh pengasas rumah kebajikan tersebut, Siti Bainun untuk menggigit perut dan memancutkan air panas dari picagari pada seorang kanak-kanak perempuan sindrom Down dikenali Bella.

Saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood berkata demikian di hadapan Hakim Izralizam Sanusi selepas dirujuk sekeping gambar kesan gigitan menurut laporan Sinar Harian.

Remaja berusia 18 tahun itu berkata, tindakan itu diambil kerana Bella enggan mengikut arahan Siti Bainun.

“Ini menyebabkan Siti Bainun geram, jadi dia arah saya ambil picagari berisi air panas, beri (pancut) pada Bella.

“Bella menggelupur, tapi dia tak rasa sakit menyebabkan Siti Bainun jadi marah kemudian dia arah saya gigit perut Bella,” katanya.

Siti Bainun suruh ajar Bella menipu sesiapa yang bertanya- saksi.

Ketika menjawab menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas, remaja itu berkata, selepas keadaan Bella diketahui oleh rakan baik Siti Bainun,Zurianty Sudin, 39, tertuduh menyuruhnya mengajar Bella supaya menipu.

“Siti Bainun arah saya dan dua lagi penghuni Rumah Bonda iaitu Aida dan Balqis menipu sesiapa sahaja yang bertanya.

“Contohnya, kalau soalan ada tak orang pukul, suruh Bella cakap tak ada, manakala bagi air panas pula, suruh kanak-kanak itu beritahu dia buat pada diri sendiri,” katanya.

Bagaimanapun saksi itu berkata, mereka gagal mengajar Bella kerana Zurianty yang lebih dikenali sebagai ‘mommy’ menghubungi ambulans dan mengambil kanak-kanak itu turun ke bawah.

Dalam prosiding, saksi itu berkata, dia berasa takut selepas ‘mommy’ mengetahui keadaan Bella namun dia merasa lebih takut sekiranya Siti Bainun mengetahui mereka menceritakan perkara sebenar.

Zilfinaz: Boleh Yasmin ceritakan apa yang berlaku pada 24 Jun 2021?

Yasmin: Kedatangan ‘mommy’ bernama Zurianty ke kondominium di Wangsa Maju untuk pantau kami iaitu saya, Aida dan Balqis, begitu juga anak-anak kecil yang lain sebab kami dijangkiti Covid-19 pada 23 Jun.

Zilfinaz: Bagaimana Yasmin tahu ada yang positif Covid-19?

Yasmin: Memandangkan ada kes Covid-19 di Rumah Bonda Setapak, jadi Siti Bainun hubungi doktor untuk buat ujian pada kami.

Zilfinaz: Siapa yang ambil ujian?

Yasmin: Siti Bainun, Ina, Aida, Balkis, saya, Tulus, Arian dan Mariam kecuali Bella.

Zilfinaz: Kenapa Bella tak buat?

Yasmin: Dia dikurung di bilik dobi dan diberi arahan supaya tidak bising.

Zilfinaz: Lepas itu apa yang berlaku?

Yasmin: Siti Bainun terima panggilan supaya menjalani kuarantin di Hospital Sungai Buloh.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung Rabu depan di hadapan  Hakim Izralizam Sanusi- Buletin TTKM-






Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.