Selepas dikritik, Ras Adiba beri jaminan Bernama akan beri liputan kes Bella.

Pengerusi agensi berita nasional Bernama, Ras Adiba Radzi awal pagi tadi memberi jaminan bahawa Bernama akan terus memberikan liputan berita dari semasa ke semasa bagi memastikan kes penganiayaan seorang remaja OKU, Bella dapat diikuti.

Beliau memberi jaminan itu di laman facebooknya setelah dikritik pelbagai pihak berikutan tiada sebarang liputan mengenai prosiding kes tersebut sepanjang isnin hingga khamis oleh agensi berita nasional itu.

Manakala pentadbir laman facebooknya telah menutup ruangan komen dan memadam komen-komen yang mengkritik senator itu.

Pemerhatian Buletin TTKM turut mendapati tiada liputan oleh media arus perdana lain sepanjang empat hari tersebut.

Terdahulu, beliau yang juga senator OKU dalam satu kenyataan berkata beliau tidak membuat sebarang kenyataan mengenai kes itu “kerana ia mungkin boleh mengganggu proses undang-undang”.

Mengenai ketidak-hadirannya ke mahkamah semasa perbicaraan kes Bella yang menggambarkan seolah-olah dirinya tidak mengambil peduli, beliau berkata ia adalah kerana “terdapatnya langkah-langkah prosedur operasi standard (SOP) yang menhadkan kehadiran pihak-pihak berkaitan”.

Walau bagaimanapun, aktivis Justice4Bella, Mona Din dalam satu kenyataan balas berkata ulasan dari senator itu bukan sesuatu yang diminta oleh mereka memandangkan semua sedia maklum kes sedang dibicarakan.

“Kita minta senator tolong pastikan Bernama buat liputan setiap perbicaraan kes Bella, bukan ulasan.”

“Boleh tak senator sebagai wakil lantikan untuk OKU, juga sebagai pengerusi Bernama, tolong minta Bernama buat liputan kembali 4 hari perbicaraan kes oku adik Bella yang tiada langsung berita sebelum ini?” soalnya.

Terkini, Mona Din mengucapkan terima kasih kepada Senator Ras Adiba kerana memberi jaminan akan membuat liputan.

Walaubagaimanapun, beliau memohon supaya Bernama menyiarkan liputan perbicaraan pada 4 hari tersebut, 4 April-7 April.

“Saya dan rakyat betul-betul mahu tahu butir-butir keterangan dari 4 saksi-tersebut, terutamanya dari 3 doktor pakar. Tolonglah YB.” kata Mona Din.

Buletin TTKM mendapati butiran mengenai 4 hari perbicaraan yang tidak dilaporkan oleh sebarang media arus perdana cuma didedahkan oleh laman facebook “Bomoh Bursa” yang tular di facebook dan sehingga kini mendapat 3100 perkongsian.

Setakat ini, tiada sebarang bantahan mengenai isi hantaran tersebut dari mana-mana pihak.

(Buletin TTKM secara bebas tidak dapat mengesahkan hantaran itu)

Menurut hantaran Bomoh Bursa, keterangan doktor-doktor yang merupakan saksi kedua, ketiga dan keempat pendakwa itu menyentuh mengenai butiran kecederaan teruk dialami Bella yang mengesahkan ia adalah akibat dari penderaan.

Dalam perbicaraan itu, Siti Bainun diwakili 7 peguam diketuai Nur Aminahtul Mardiah Md Nor.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan sama menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun tahun ini, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Rumah Bonda yang terletak di Jalan Kukuban, dikenakan tindakan sita, pada 21 Julai 2021 selepas didapati beroperasi secara haram sejak 2019 dan tidak berdaftar dengan JKM.

-Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.