Kes basikal lajak masih belum selesai, ini sebab-sebabnya, kata seorang peguam

Basikal lajak; Masih belum selesai.

Oleh : Mohd Redzuan Mohamed Yusoff

Kes semalam berkaitan basikal lajak ni sebenarnya mempunyai banyak hal teknikal dan prosedural untuk dijelaskan. Kami cuba mudahkan untuk anda.

Pertama, pertuduhan ni bukan hal bunuh. Ia kes memandu secara melulu hingga akibatkan kematian. Yang ni kena faham dulu.

Kedua, kes ni dibicarakan di Mahkamah Majistret. Semua kes boleh di buat rayuan sehingga dua kali. Kalau tak mahu merayu pun boleh. Itu hak pihak yang terlibat.

Untuk faham kronologi kes ni, kena faham yang mahkamah jenayah ni perbicaraan dia ada dua peringkat. Peringkat pertama yang kita selalu dengar prima facie tu. Peringkat prima facie ni, hanya saksi bagi pihak pendakwaan akan dipanggil.

Hujung Prima Facie, hakim atau majistret akan bagi keputusan sama ada wujud kes untuk dijawab. Apa benda ni? Bahasa mudah, lepas dengar semua saksi pendakwaan, hakim puas hati atau tak yang memang dah hampir pasti dia buat salah. Belum pasti, hampir pasti. (Ini bukan definisi sebenar, ini hanya untuk memudahkan pembaca yang tak ada latar belakang undang-undang faham). Kalau tak ada kes, OKT bebas.

Kalau hakim puas hati ada kes, dia akan arahkan perbicaraan peringkat kedua. Peringkat ni dipanggil pembelaan. Peringkat ni saksi-saksi dari side Orang Kena Tuduh akan dipanggil. Lepas dengar saksi-saksi ni, hakim akan putuskan semula sama ada memang OKT salah atau tak salah.

Faham setakat ni? Tak faham kena baca balik.

Dalam kes basikal lajak ni, pada peringkat Prima Facie, Majistret dapati tak ada kelalaian dalam pemanduan dan bebaskan OKT. Pendakwaraya buat rayuan. Hakim Mahkamah Tinggi kata sepatutnya kena panggil bela diri. Jadi kes dipulangkan kepada Majistret.

Lepas pembelaan, Majistret masih dapati tak salah. Maknanya tak ada kelalaian, tak ada memandu melulu. Majistret bebaskan sekali lagi. Pendakwaraya merayu lagi sekali.

Sebab tu la kes ni bebas dah dua kali.

Tapi di Mahkamah Tinggi, Hakim dapati ada pemanduan melulu yang bahaya. Mengikut laporan berita, hakim nyatakan ada elemen melulu. Untuk kepastian, kita kena tunggu Alasan Penghakiman oleh Yang Arif Hakim.

Dalam konteks ni, pertikaian masyarakat ialah ‘lepas ni jalanraya kena bagi kat basikal lajak, kita naik tikar terbang’ dan ‘siapa suruh bawa basikal pukul 3’.

Baik, kita sekalikan dua-dua ni.

Bila tuduhan memandu melulu, lalai, cuai dan yang seangkatan, kita kena fokus pada elemen pertuduhan dulu. Ada tak tindakan seperti yang dituduh?

Ye la, ada budak-budak main basikal tak cukup sifat atas jalan yang dah macam highway, tapi yang dibicarakan ialah standard pemanduan. Jika pemandu memandu ikut standard yang sewajarnya, adakah kemalangan seperti itu akan berlaku?

Dalam hal macam ni juga, wajar dipertimbangkan keadaan jalan, cuaca, kedudukan mangsa sama ada tersembunyi atau jelas, kenderaan mangsa sama ada boleh dilihat, banyak lagi. Semua ni perlu dibangkitkan dan dipertimbangkan.

Ni belum masuk bab prosedur contohnya sama ada saksi hadir, bukti diterima atau tak, kenyataan OKT dibuat macam mana. Banyak hal prosedur dan teknikal yang boleh mempengaruhi dapatan kes.

Adakah kes ni dah selesai? Dah rayuan dua kali kan?

Tak, kes ni rayuan atas keputusan akhir kes baru sekali. Maknanya boleh merayu lagi ke Mahkamah Rayuan.

Dah tu kenapa terus kena penjara? Kenapa N tak kena? Ini double standard.

Ini kita panggil isu undang-undang. Prosedur rayuan ke Mahkamah Rayuan untuk kes yang berasal dari Majistret ni ada syarat. Syarat dia, kena mohon kebenaran dulu dari Mahkamah Rayuan. Maknanya ada satu step tambahan berbanding kes yang berasal dari Mahkamah Tinggi.

Benda ni yang belum ada. Peguam tak boleh mohon izin ni selagi kes belum diputuskan. Bila dah putus, nak mohon makan masa berhari juga.

Itu alasan Mahkamah tinggi tak bagi penangguhan lagi. Mungkin bila dah ada nanti, penangguhan akan dibenarkan. Itu pun jika syarat-syarat dipenuhi dan atas penilaian Hakim.

Memang ada hujah dan perbezaan pendapat atas hal tu, tapi kita cerita lain kali. Akademik sangat nanti.

Ok, lepas ni apa pulak?

Berdasarkan berita, akan ada rayuan dari pihak pemandu. Mungkin juga ada rayuan silang dari pihak pendakwaraya. Rayuan silang ni maknanya ada rayuan dari pihak yang satu lagi.

Laaa… pendakwaraya nak buat apa lagi? Kan dah menang rayuan?

Rayuan ni tak terhad kepada yang kalah je. Pendakwaan boleh merayu untuk naikkan hukuman. Kalau dia tak puas hati atas hukuman yang diputuskan.

Pesan kami,

Untuk geng basikal lajak & sekutu; Keputusan kali ni tak beri hak total kepada korang untuk buat suka hati atas jalan.

Untuk driver kenderaan bermotor; Hati-hati, pastikan korang ikut standard pemanduan yang ditetapkan. – Buletin TTKM –


Penulis merupakan seorang peguam di firma guaman The Law Chambers of Redzuan & Faiezad. Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Buletin TTKM – Editor



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik: