Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata siasatan suruhanjaya pencegahan rasuah Malaysia terhadap dakwaan wang RM1 juta yang tidak dalam dijelaskan dalam akaun hakim mahkamah rayuan, Datuk Mohd Nazlan melanggar prinsip pembahagian kuasa.
Katanya, institusi kehakiman sendiri mempunyai badan yang menyelia dan mengawal integriti para hakim dan ini ditetapkan untuk memastikan agar wujud pembahagian kuasa yang jelas di dalam sistem yang ada.
“Integriti dan kebebasan badan kehakiman kelihatan beransur pulih akibat dari kecelaruan dan ketempangan berdekad-dekad lamanya tanpa ada usaha serius pemerintah untuk membetulkannya. Adalah dikhuatiri hebahan sebegini akan dianggap sebagai tekanan dan campurtangan politik.” katanya dalam satu kenyataan di laman facebooknya.
Untuk rekod, SPRM pada 6 Nov 2019 pernah melakukan pendakwaan terhadap Tiga pengamal undang-undang termasuk seorang bekas hakim atas pertuduhan rasuah. Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan wang tunai sebanyak RM17,500 daripada Wong Chiew Hoong, 40, sebagai upah kepada Azmil Muntapha untuk menjatuhkan hukuman denda sahaja ke atas tujuh pendatang asing yang melakukan kesalahan di bawah perenggan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, dekat sini antara 9.30 pagi hingga 2.45 petang, 17 Julai lepas.Pertuduhan dikemukakan mengikut perenggan 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Editor
Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki mengesahkan kertas siasatan terhadap perkara itu telah dibuka ekoran terdapat laporan mengenainya.
“Ya, kita telah memulakan siasatan. Prosedurnya adalah untuk menyiasat setelah laporan rasmi dibuat.
“Kita buka kertas penyiasatan kerana terdapat beberapa laporan dibuat, bukan kerana dakwaan dibuat dalam portal atau media sosial” katanya seperti dipetik The Star.
Mohd Nazlan merupakan hakim yang mensabitkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Walau bagaimanapun, Azam enggan mendedahkan sama ada pegawainya akan mencari dokumen atau memanggil individu untuk disoal siasat.
“Siasatan masih di peringkat awal. Pegawai saya akan membuat keputusan semasa siasatan dijalankan,” katanya.
Pada 19 April , laman Malaysia Today yang dikendalikan oleh blogger dalam buangan, Raja Petra Kamaruddin mendakwa Mohd Nazlan sedang disiasat berhubung wang berjumlah RM1,036,127.40 yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.
Artikel tersebut mendakwa wang tersebut dimasukkan ketika Mohd Nazlan merupakan penasihat undang-undang dan setiausaha kumpulan Maybank.
Berikutan itu, pada 21 April, Mohd Nazlan telah membuat laporan polis terhadap blog tersebut menafikan dakwaan dan menyifatkan ia sebagai berniat jahat, tidak berasas dan bertujuan untuk mencemarkan kredibilitinya sebagai hakim.
Dalam satu kenyataan, Pejabat ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan berkata laporan polis itu dibuat supaya siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan peruntukan undang-undang lain yang berkaitan, dapat dijalankan.
Pada 14 Mac 2022, peguam yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdulah berkata sepatutnya Nazlan menarik diri daripada mendengar kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapi Datuk Seri Najib Razak berikutan dakwaan berhubung peranan Mohd Nazlan dalam pinjaman dana oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada Maybank bagi pengambilalihan Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd (Tanjong).
Beliau menegaskan, Mohd Nazlan yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi sepatutnya mendedahkan jawatan terdahulunya pada 2012, iaitu selaku setiausaha syarikat dan ketua penasihat undang-undang kumpulan Maybank.
Berikutan itu, Muhammad Shafee berkata pihaknya akan memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mengemukakan bukti baharu berhubung perkara terbabit. -Buletin TTKM-