“Kami ada kuasa siasat pegawai badan awam, termasuk hakim mahkamah tinggi ” – SPRM

KENYATAAN MEDIA SPRM

SPRM PUNYAI KUASA SIASAT PEGAWAI BADAN AWAM

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menjelaskan berkaitan isu siasatan terhadap seorang hakim yang dibangkitkan oleh segelintir pihak sehingga mendapat perhatian umum baru-baru ini.

Berdasarkan prosedur, Suruhanjaya ini bertanggungjawab untuk mengesahkan dan menyiasat sesuatu laporan atau aduan rasmi yang telah dibuat kepada SPRM melibatkan perkara-perkara di bawah bidang kuasanya.

SPRM telah diberikan kuasa untuk menyiasat kes jenayah rasuah di bawah Akta SPRM 2009 termasuk siasatan terhadap ‘pegawai badan awam’ yang ditafsirkan dalam Seksyen 3 akta tersebut seperti berikut:

“Pegawai badan awam” ertinya mana-mana orang yang menjadi anggota, pegawai, pekerja atau pekhidmat sesuatu badan awam, dan termasuklah anggota pentadbiran, ahli Parlimen, ahli sesuatu Dewan Undangan Negeri, hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan, dan mana-mana orang yang menerima apa-apa saraan daripada wang awam, dan, jika badan awam itu ialah suatu perbadanan seorang, termasuklah orang yang diperbadankan sebagai perbadanan itu.”

Selaras dengan prinsip pengasingan kuasa, setelah semua proses siasatan selesai dilakukan, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuat keputusan sama ada melakukan pendakwaan atau sebaliknya.

SPRM juga telah mempunyai rekod menyiasat hakim yang mana kertas siasatan berkaitan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuat penilaian.

Berhubung siasatan terhadap hakim tersebut, SPRM telah menerima satu aduan pada 15 Mac 2022 disusuli dua lagi aduan pada 23 dan 27  April 2022. Siasatan ini masih berada di fasa awal dan melibatkan kepentingan awam.
Harus dijelaskan bahawa apabila sesuatu siasatan dijalankan terhadap mana-mana individu, ia tidak bermakna individu tersebut telah melakukan kesalahan.

Sehubungan itu, SPRM memohon masyarakat umum memberi ruang untuk proses siasatan dijalankan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

28 APRIL 2022



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik: