Zuraida letak jawatan

Kuala Lumpur, 26 Mei: Ahli parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin mengumumkan perletakan jawatan dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Beliau juga berkata akan bertemu dengan perdana menteri, Daruk Seri Ismail Sabri Yaakob secepat mungkin membincangkan perletakan jawatannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Walau bagaimanapun, beliau menyatakan pendiriannya untuk menyokong kerajaan sekarang yang dipimpin Ismail Sabri ketika ini.

“Pendirian saya selaku Ahli Parlimen Ampang menyokong Kerajaan yang
dipimpin oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri (government of the day)
adalah selari dengan pendirian PBM.

Insya Allah saya akan berjumpa dengan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri
Yaakob dalam masa terdekat untuk membincangkan perletakan jawatan saya sebagai
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.” katanya.

Menjelas lebih lanjut, Zuraida berkata beliau mengambil keputusan untuk menyertai PBM kerana “mempercayai perjuangan parti tersebut
dan amat tertarik dengan enam prinsip terasnya iaitu keterlibatan pelbagai kaum; pemberdayaan wanita; pemerkasaan anak muda; pembangunan ekonomi; peningkatan
pendidikan dan kemajuan sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.”

Penyertaan Zuraida dalam PBM bermakna parti tersebut kini mempunya tiga ahli parlimen selain presiden parti, Larry Sng, ahli parlimen Julau dan Steven Choong, ahli parlimen Tebrau dan lima ahli dewan undangan negeri.

Sebelum ini Zuraida merupakan Naib Presiden PKR sebelum melompat ke Bersatu ekoran Langkah Sheraton mengikuti Azmin Ali. Jawatan terakhir Zuraida dalam Bersatu adalah ahli MPT.

Desas desus penyertaan Zuraida ke dalam parti PBM diperkatakan di media sosial sejak Disember 2021 apabila 53 000 ahli Penggerak Komuniti Negara, NGO yang dikaitkan dengan beliau menyertai PBM . -Buletin TTKM-

 

 

Kenyataan penuh:

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya telah berkecimpung dalam politik selama dua puluh empat tahun, termasuk 14
tahun terakhir sebagai Ahli Parlimen Ampang. Sepanjang penglibatan dalam politik,
saya amat bersyukur kerana dapat menyumbang kepada kebajikan rakyat, khususnya
pengundi di Ampang dan di kedua-dua Kementerian yang saya telah diberikan amanah
untuk berkhidmat.

Beberapa bulan kebelakangan ini saya mula berfikir tentang politik negara dan hala tuju
masa depan politik saya. Saya telah mendapat maklumbalas dari penyokong rapat saya,
pengundi di Ampang, rakan sekerja dalam Kerajaan, wakil-wakil dari pertubuhan
masyarakat sivil serta kumpulan dari sektor perniagaan dan korporat.

Setelah membuat pertimbangan yang mendalam, saya telah memutuskan untuk
menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). Saya mempercayai dengan perjuangan parti ini
dan amat tertarik dengan enam prinsip terasnya iaitu keterlibatan pelbagai kaum;
pemberdayaan wanita; pemerkasaan anak muda; pembangunan ekonomi; peningkatan
pendidikan dan kemajuan sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia
sebuah negara maju.

Saya melihat banyak potensi dalam PBM, terutamanya pada masa rakyat Malaysia sudah
bosan dengan politik lama, yang membantutkan kemajuan negara. Insya Allah,
penyertaan serta pengalaman saya ke PBM nanti akan dapat membantu mengangkat
Parti ini ke peringkat yang lebih tinggi, terutamanya menjelang pilihan raya umum yang
akan datang. Penyertaan saya ini juga akan mengisi kelompongan kepimpinan wanita
dalam negara. Sejak penubuhannya, PBM dilihat semakin kuat dan kini mempunyai
beberapa orang Ahli Parlimen dan ADUN dalam barisannya.

Alhamdulillah, pendirian saya selaku Ahli Parlimen Ampang menyokong Kerajaan yang
dipimpin oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri (government of the day)
adalah selari dengan pendirian PBM.

Insya Allah saya akan berjumpa dengan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri
Yaakob dalam masa terdekat untuk membincangkan perletakan jawatan saya sebagai
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi. Saya juga akan berbincang tentang
peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia. Saya
mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan YAB Perdana Menteri.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih
kepada YB Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji
Mohd Yassin serta YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob, di atas kepercayaan mereka
melantik saya sebagai Menteri Kabinet.

Sepanjang saya berkhidmat di kedua-dua Kementerian, saya telah berusaha
memberikan yang terbaik dan membawa perubahan positif kepada rakyat dan
kehidupan mereka. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan padu yang
saya terima sepanjang perkhidmatan saya di kedua-dua Kementerian.

Saya kini berada di Turki memenuhi undangan memberikan ucapan pada majlis
pembukaan Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan
Palestin. Persidangan ini akan berlangsung selama tiga hari bermula pada 27hb Mei
2022, dan seterusnya saya akan ke Athens, Greece bagi memenuhi undangan Misi
Perniagaan dan Pengembangan Pasaran Kayu Malaysia bersama Majlis Kayu Kayan
Malaysia (Malaysian Timber Council). Insyallah saya akan kembali ke tanah air pada 2hb
Jun 2022.

Akhir kata, dengan rendah diri saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf
di atas sebarang cacat cela dan kelemahan saya selama ini. Saya mendoakan yang
terbaik dan semoga lakaran baru perjalanan politik saya ini mendapat sokongan semua
lapisan masyarakat demi negara yang tercinta ini. Sekian, terima kasih.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh.
TAMAT

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.