PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin, menafikan ada menerima sogokan berjumlah RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), antara Jun dan Ogos 2018.
Muhyiddin berkata, keterangan yang diberi oleh bekas pengurus pentadbiran syarikat itu, David Tan, yang juga saksi dalam perbicaraan rasuah Ahmad Zahid Hamidi hari ini, adalah palsu.
Tegasnya, beliau sama sekali tidak pernah menerima secara langsung atau tidak wang daripada Tan, pengarah mahupun pemegang saham syarikat berkenaan.
“Saya dengan ini menyatakan bahawa saya tidak pernah menerima, secara langsung atau tidak langsung, sebarang wang daripada David Tan, saksi daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, pengarahnya ataupun pemegang sahamnya.
“Saya juga tidak pernah disoal atau disiasat oleh pihak berkuasa berkenaan dengan tohmahan ini. Pernyataan ini adalah palsu, saya dengan tegasnya menafikan pernyataan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak pendakwaan dapat memperjelaskan dakwaan terbabit, selain turut menyatakan kesediaan untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Adalah diharapkan pihak pendakwaan akan menjelaskan perkara ini supaya tidak menimbulkan fitnah buruk terhadap saya sedangkan saya tegas menentang rasuah.”
Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, pada tarikh tertentu dinyatakan saksi berkenaan, beliau ketika itu sedang menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut.
“Saya sebenarnya sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di luar negara, tugas saya sebagai menteri dalam negeri diambil alih oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad ketika itu.
“Adalah mustahil bagi saya menerima sebarang sogokan wang tunai daripada sesiapa dalam keadaan itu. Dakwaan tersebut ternyata tidak berasas,” katanya.
Dakwaan tersebut timbul selepas Tan dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi, menyatakan Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal ada menerima dana daripada UKSB.
Tan memberitahu mahkamah bahawa dana itu dibayar secara tunai kepada Muhyiddin pada 4 Jun, 4 Julai dan 23 Ogos 2018.
“Pada 4 Jun 2018 sebanyak RM300,000; 4 Julai 2018 sebanyak RM500,000 dan 23 Ogos 2018 RM500,000,” katanya.
Tan turut bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa pada 2018, Muhyiddin ialah Menteri Dalam Negeri selepas Ahmad Zahid selain mengesahkan projek UKSB (VLN) masih di bawah KDN.
Semalam, Tan memberitahu mahkamah bahawa beliau menyimpan lejar bayaran yang dibuat kepada Zahid antara 2014 hingga 2018.
Katanya, nama dalam lejar itu terdiri daripada “menteri, ahli politik dan penjawat awam”.
Dalam pemeriksaan balas oleh peguam Hamidi Mohd Noh hari ini, Tan berkata, nama Muhyiddin, Shafie, bekas menteri luar Anifah Aman dan bekas timbalan menteri luar Reezal Merican Naina Merican turut dicatatkan dalam lejar itu di bawah nama kod antaranya ‘Z’, ‘ZH’, ‘YB’, ‘MON’ dan ‘Young Boy.
“Saya ingin memberi penjelasan berhubung beberapa kod nama itu. Macam ‘Monster’, ketika itu saya sedang makan snek ‘Mamee Monster’, sebab itu saya gunakan kod nama berkenaan.

‘YB’ merujuk Yang Berhormat, manakala ‘ZH’ adalah Zahid Hamidi. Saya juga ada gunakan kod nama bagi menteri, ahli politik dan penjawat awam dalam lejar itu. Alasannya sama, iaitu untuk rahsiakan identiti mereka,” katanya.
-Buletin TTKM.