Dakwaan terima wang UKSB: SPRM siasat Muhyiddin, KJ, dan individu lain

Putrajaya, 19 Jun: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  akan membuka kertas siasatan terhadap beberapa individu yang disebut dalam perbicaraan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut kenyataan dikeluarkan agensi antirasuah itu malam tadi, mereka terdiri daripada nama-nama yang disebut saksi  yang dikatakan telah menerima wang dalam perbicaraan rasuah bekas timbalan perdana menteri terbabit beberapa hari lalu.

Nama-nama berkenaan, menurut saksi pendakwaan, berada dalam lejar yang dibayar syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sama seperti Ahmad Zahid.

Setakat ini, tiada daripada nama yang disebutkan itu disiasat atau didakwa.

Terdahulu, saksi pendakwaan, David Tan yang merupakan bekas pengurus pentadbiran UKSB, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selain ahli parlimen Bagan Datuk tersebut, UKSB juga melakukan pembayaran berjumlah  RM1.3 juta kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pada 2018 dalam tiga pembayaran berasingan.

Ketika itu Muhyiddin merupakan menteri dalam negeri di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Selain Muhyiddin nama lain yang dikaitkan adalah ialah Menteri Kesihatan  Khairy Jamaluddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican, Menteri Pertahanan Hishamuddin Hussein, Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal dan bekas menteri luar Anifah Aman.

Menurut Tan berdasarkan lejer tersebut,  UKSB membayar Khairy sebanyak RM3.7 juta, manakala mengikut laporan forensik SPRM, Reezal Merican mendapat antara RM200,000 dan RM300,000 daripada syarikat berkenaan.

SPRM berkata agensi itu juga memang ada menerima beberapa aduan berkaitan hal tersebut.

“SPRM mengesahkan menerima beberapa aduan terhadap individu-individu yang tersenarai dalam satu lejar seperti dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan berkenaan,” katanya.

Tambah SPRM, siasatan berkenaan dijalankan mengikut bidang kuasa yang diperuntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

Kelmarin, Dato’ Lokman Adam, Presiden Laskar Siber Malaysia dan  YB Sen Dato’  Sri Ali Mohamad, Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu membuat laporan polis terhadap bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ekoran dakwaan menerima sogokan berjumlah RM1.3 juta dari syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) di Balai Polis Sungai Udang.

Ahmad Zahid kini berdepan 33 pertuduhan rasuah membabitkan S$13.56 juta (RM42 juta) daripada UKSB.-Buletin TTKM-

Kenyataan penuh SPRM:

KENYATAAN MEDIA SPRM
SPRM SIASAT PENERIMA WANG YANG DISEBUT OLEH SAKSI KES AHMAD ZAHID
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka kertas siasatan terhadap penama-penama yang dikatakan telah menerima wang seperti disebut oleh saksi dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.
SPRM juga mengesahkan telah menerima beberapa aduan terhadap individu-individu terlibat yang tersenarai dalam satu lejar seperti dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan berkenaan.
Siasatan yang akan dijalankan adalah mengikut bidang kuasa yang diperuntukan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
18 JUN 2022

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.