Kuala Lumpur, 15 Julai: Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini memerintahkan supaya lak yang telah dibuat oleh JKM WP KL ke atas premis Rumah Bonda pada 12 Julai 2021 (setahun yang lalu) ditanggalkan.
Perintah tersebut sebelum ini dipohon dalam Saman Pemula yang difailkan oleh Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur pada 07 Jun 2022 yang lalu terhadap Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan KL.
Perintah menanggalkan Lak diberikan oleh Mahkamah Majistret di bawah Seksyen 16A Akta Pusat Jagaan 1993, tanpa bantahan pihak JKM.
Walaubagaimanapun, pertubuhan Rumah Bonda hendaklah berakujanji bahawa premis tersebut tidak akan digunakan sebagai pusat jagaan.
Pertubuhan Rumah Bonda diwakili oleh peguam Asiah binti Abd Jalil dari Tetuan Asiah Abd Jalil Law Chambers, manakala Pengarah JKM WP KL diwakili oleh Peguam Persekutuan, Fatin Shafira binti Ab Patah.
Untuk rekod, pertubuhan Rumah Bonda telah dikompaun dan telah menjelaskan kompaun berjumlah RM5,000 pada 25 April 2022 yang lalu.
Pengerusi Rumah Bonda, Siti Bainun sebelum ini berkata tindakan lak yang dibuat dengan alasan Rumah Bonda tidak berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 adalah tidak adil serta tidak mengikut prinsip pentadbiran dan undang-undang administratif yang sewajarnya.
Hal ini katanya kerana pihak JKM WPKL mengetahui bahawa rumah perlindungan terbabit sedang dalam proses proses pendaftaran.
“Pada 20 April 2022, Rumah Bonda telah menerima notis tawaran kompaun berjumlah RM5,000 daripada JKM WPKL mengikut Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994 (Pengkompaunan Kesalahan), di bawah Seksyen 21A dan Seksyen 24 Akta Pusat Jagaan 1993 dan Rumah Bonda telah membuat bayaran penuh kompaun itu pada 25 April 2022.”
Susulan daripada itu, beliau meluahkan rasa kecewa apabila dimaklumkan oleh Pegawai Penguatkuasa JKM WPKL bahawa Rumah Bonda hanya boleh dibuka melalui satu perintah mahkamah meskipun kompaun sudah dijelaskan.
“Saya sebagai pengerusi Rumah Bonda dan mewakili seluruh ahli jawatankuasa beraku janji bahawa, sekiranya mahkamah memberikan perintah menanggalkan lak tersebut, saya dan Rumah Bonda tidak akan menggunakan premis tersebut sebagai pusat jagaan, sehinggalah premis tersebut didaftarkan di bawah Seksyen 10 Akta Pusat Jagaan 1993.” tambahnya.
Dakwanya lagi, selepas tindakan lak dilaksanakan, ahli jawatankuasa, sukarelawan dan termasuk dirinya tidak mempunyai akses untuk memasuki rumah perlindungan itu lagi. Sekali gus menyukarkan usaha-usaha permohonan pendaftaran Rumah Bonda terbabit serta kerja-kerja amal yang lain.
“Rumah Bonda sehingga kini terpaksa membayar sewa bulanan bagi premis itu berjumlah RM2,800 sebulan, meskipun tidak dapat menggunakan premis berikutan tindakan Lak oleh JKM WP KL dan sejak 12 Julai 2021, Rumah Bonda telah menanggung kos sewa hampir setahun tanpa peluang memanfaatkan premis berkenaan.” katanya.
Rumah Bonda yang dikaitkan dengan kes penderaan seorang remaja wanita kelainan upaya yang dikenali sebagai Bella disita pada 12 Julai 2021 oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana didapati tidak berdaftar dengan badan tersebut.
“Kita telah ambil langkah proaktif yang mana kita mendapati Rumah Bonda ini telah melakukan pelanggaran syarat dalam menentukan premis pengoperasian sebagai sebuah pusat jagaan.
“Tindakan sita ini kekal sehinggalah adanya perintah mahkamah untuk membukanya semula,” kata Pengarah JKM, Che Samsuzuki Che Noh -Buletin TTKM