PUTRAJAYA: Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) mengesahkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bekas Perdana Menteri dua kali yang berusia 97 tahun itu walaubagaimanapun berkata GTA tidak menetapkan siapakah calon perdana menteri sekiranya memenangi PRU15.
“Kita juga membuat keputusan iaitu di Langkawi calonnya ialah Dr Mahathir Mohamad.
“Tapi bukan sebagai calon bakal Perdana Menteri. Calon sebagai wakil rakyat saja,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.
Dr Mahathir berkata, GTA membuat keputusan untuk tidak menamakan calon bakal Perdana Menteri ketika ini kerana ia hanya akan relevan jika gerakan itu menang pada PRU-15.
Pada PRU 14 lepas, Tun Dr Mahathir merupakan calon perdana menteri Pakatan Harapan di mana gabungan tersebut berjaya menumbangkan Barisan Nasional buat pertama kali.
Beliau dilantik sebagai perdana menteri kali kedua selepas kemenangan Pakatan Harapan pada PRU yang lalu tetapi hanya bertahan selama 22 bulan kerana meletakkan jawatan ekoran beberapa ahli parlimen Bersatu dan PKR keluar dari Pakatan Harapan melalui Langkah Sheraton. – Buletin TTKM-