PH lancar manifesto ‘pendek’ PRU 15 khamis depan

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) akan melancarkan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada Khamis depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pelancaran itu sempena Konvensyen PH di Ipoh, yang diawalkan daripada jadual asal pada 29 Oktober, lapor  Bernama.

“Kita tidak mahu (manifesto) yang panjang. (Sebaliknya) kita akan cuba sedaya upaya sebaik mungkin. Tetapi teras manifesto mesti (berkaitan) kos sara hidup, pendidikan, kemudahan kesihatan, peluang pekerjaan serta menghapuskan rasuah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini hari ini.

Beliau turut berkata  pintu untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak sentiasa terbuka namun ia harus berlandaskan prinsip tertentu dan bukan hanya untuk melawan UMNO serta Barisan Nasional, selain PH turut bersetuju mengadakan pakatan pilihan raya dengan MUDA dan Parti Sosialis Malaysia.

Pada PRU 14 lepas, Pakatan Harapan memenangi pilihanraya umum namun gagal menunaikan janji-janji dalam manifesto di dalam Buku Harapan setebal 195 muka surat. Antaranya adalah seperti menghapuskan tol dan penangguhan pembayaran PTPTN bagi mereka yang berpendapatan bawah RM4k.

Kegagalan itu menyebabkan warga net menyindir manifesto Pakatan Harapan sebagai ‘manifesto hancing’.

Sebelum ini, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan  yang bertanggung jawab menulis manifesto PH pada PRU 14 lalu berkata beliau tidak mendapat maklumat mencukupi ketika merangka manifesto tersebut.

Ini kerana  beliau tidak dapat mengakses kepada maklumat atau data tertentu, menyebabkan wujud ‘kelemahan’ dalam manifesto berkenaan.

“Sebenarnya pada waktu saya menulis, saya sentiasa sedar bahawa ada satu kelemahan yang amat ketara yang saya hadapi iaitu saya tidak ada, pada waktu itu, data terkini mengenai status kewangan negara.

“Maka saya tidak dapat membuat anggaran berapa kos sebenar yang perlu dibayar untuk melaksanakan program-program yang saya sendiri tuliskan,” katanya.

Kegagalan menunaikan manifesto Pakatan Harapan sering menghantui Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir menyebabkan beliau berkata manifesto bukanlah kitab suci yang wajib dipenuhi-Buletin TTKM-

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.