Tegah bawa telefon bimbit semasa mengundi -Kata Tun pada SPR

Kuala Lumpur, 20 Oktober: Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air, Tun Dr Mahathir mengesyorkan kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia supaya telefon bimbit ditegah dari dibawa masuk semasa mengundi.

Katanya, telefon bimbit boleh menidakkan rahsia pengundi di mana parti politik boleh menggunakan maklumat yang diperoleh untuk memberikan sogokan.

“Pengundi boleh tunjuk melalui telefon bahawa dia sudah undi parti tertentu dan parti pun hulur wang. Tidak bolehkah Suruhanjaya Pilihan Raya tegah membawa telefon bimbit semasa mengundi?” tulisnya di laman facebook hari ini.

Pada 16 Mac 2022,Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Mas Ermieyati berkata kerajaan tidak akan menghalang pengundi untuk membawa telefon pintar ketika proses pengundian dijalankan dalam pilihan raya.

“Tiada keperluan dari pihak kerajaan untuk melarang pengundi membawa telefon bimbit ketika mengundi, larangan hanya tertumpu kepada pengundi untuk tidak mengambil kertas undi yang perlu dipatuhi secara penuh tanggungjawab oleh setiap pengundi,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat.

Mas Ermieyati berkata, perbuatan kongsi kertas undi di media sosial adalah suatu tindakan tidak bertanggungjawab dan pengundi perlu diberi pendidikan mengenai perkara tersebut.

“Telah tular dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas, pengundi yang tidak bertanggungjawab kongsi kertas undi di media sosial, ini adalah perbuatan yang tidak patut dan tidak wajar. Kita harus mendidik pengundi untuk tidak berbuat demikian,” jelasnya. -Buletin TTKM-

 

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.