Kuala Lumpur, 30 Okt: Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan dakwaan kononnya UMNO menggadaikan prinsip parti apabila Presiden DS Ahmad Zahid bertemu dengan pengasas Hindraf, Waythamoorthy sebagai satu tuduhan liar.
Tambahnya lagi, perkara itu adalah “propaganda murahan yang jelas menunjukkan realiti dan sikap pihak lawan yang ketandusan bahan-bahan kempen PRU-15 bagi menyemai kebencian yang tidak ada asasnya”
Katanya, UMNO tidak boleh menghalang mana-mana pihak untuk memberikan sokongan kepada parti tersebu malah menyifatkan sokongan yang tidak dijangka daripada Waythamoorthy yang dianggapnya sebagai musuh itu sebenarnya menunjukkan kekuatan sebenar parti UMNO yang selama ini dituduh akan pupus dan tidak relevan lagi.
“Sokongan itu tidak bermakna UMNO akan berkompromi pada apa-apa perkara yang menggugat perlembagaan. Atau memberi maksud UMNO akan berkompromi jika ada tindakan mereka yang bercanggah dengan undang-undang sebelum ini.” katanya.
Mengulas lanjut, ketua pemuda UMNO itu berkata sokongan Waythamoorthy kepada BN hari ini adalah kerana beliau yakin BN boleh menjaga kebajikan kaum India.
“Tapi sebenarnya tanpa Hindraf sekalipun, UMNO dan BN selama ini sentiasa memberikan tumpuan kepada kebajikan kaum tersebut.
“Dalam Bajet 2017 contohnya, kerajaan memperuntukkan lebih RM260 juta bagi pembangunan sosio ekonomi khusus untuk masyarakat India. Daripada jumlah itu, RM150 juta disediakan bagi pinjaman perniagaan melalui TEKUN dan AIM.” katanya.
https://www.facebook.com/photo?fbid=674935540669830&set=a.405662404263813
Terdahulu, pempengaruh media sosial, Khairul Azri menaikkan 7 hantaran mengkritik tindakan mesra presiden UMNO, Dato Seri Zahid Hamidi menziarahi pengasas Hindraf tersebut. Hantaran tersebut hangat diperdebatkan dan tular di media sosial
Susulan pertemuan itu, Waythamoorthy membuat pengumuman bahawa parti yang diasaskannya, MAP dan dirinya akan menyokong Barisan Nasional pada PRU 15 akan datang.
Waythamoorthy turut mengakui terdapat konsensus di antara beliau dan Zahid dimana katanya presiden UMNO itu menyokong usaha dan rancangannya untuk komuniti india.
“Apa yang penting bagi saya adalah, untuk menyokong seorang perdana menteri yang akan menyokong saya untuk membangunkan masyrakat kita dan memenuhi misi hidup saya. Itulah konsensus saya dengan Dato Seri Zahid Hamidi. Beliau menyokong usaha dan rancangan saya untuk komuniti India, maka yang demikian Malaysian Advancement Party (MAP) dan saya akan menyokong Barisan Nasional di bawah kepimpinan Dato Seri Zahid Hamidi. ” katanya.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan dari Zahid berhubung pertemuan itu.
Untuk rekod, ketika Waythamoorthy menjawat jawatan menteri perpaduan ketika pemerintahan Pakatan Harapan, dbeliau didesak meletakkan jawatan berikutan kegagalannya mengendalikan isu rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, arwah Adib serta video tular beliau yang didakwa menghina negara. Selain itu dakwaan penglibatannya dalam usaha meratifikasikan ICERD juga ditentang pelbagai pihak.
Mengenai ratifikasi ICERD, Waytha menafikan penglibatannya dan berkata ia adalah di bawah Saifuddin Abdullah, menteri luar Pakatan Harapan ketika itu.
-Buletin TTKM-