DBKL bersiap-siaga hadapi banjir di ibu kota.

Kuala Lumpur, 31 Oktober: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir di ibu negara berikutan musim hujan  ekoran monsun timur laut yang bermula November sehingga Mac tahun depan.

Untuk itu, menurut DBKL, beberapa pelan jangka pendek , sederhana dan jangka panjang telah dikenal pasti dan sedang dilaksanakan bagi menghadapi sebarang bencana.

Untuk pelan jangka pendek, DBKL telah pun menempatkan pasukan pemantau banjir di lokasi titik panas bermula 1 Jun 2022 lepas. DBKL telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan dan Tindakan Khas Banjir Kilat/Jalan untuk memastikan kesiapsiagaan bagi menghadapi banjir kilat/jalan di Kuala Lumpur dan 31 lokasi hotspot banjir kilat/jalan telah dikenal pasti.

DBKL juga telah menempatkan sebuah khemah bit di setiap titik panas.

Tujuan penempatan bit titik panas ini adalah untuk membuat pemantauan khusus di lokasi tersebut berkaitan keadaan semasa, mengambil tindakan awal dan melaporkan kepada bilik kawalan sekiranya terdapat kejadian banjir.

Selain itu, kerja-kerja membaiki, melebar dan menambah bilangan scupper drain sedia ada bagi memudahkan aliran air mengalir terus ke sistem perparitan sedang dijalankan.

Setakat ini, bilangan scupper drain yang berjaya diselesaikan adalah sebanyak 92% manakala pam air mudah alih ditempatkan di lokasi-lokasi hotspot banjir yang berfungsi untuk memindahkan lebihan air yang bertakung ke kawasan yang bersesuaian seperti kolam takungan banjir yang paras airnya masih rendah dan ke downstream.

DBKL juga melaksanakan kerja-kerja pembersihan longkang dengan lebih kerap supaya tiada sampah sarap dan daun yang menghalang laluan air.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah membuat tinjauan dan pemeriksaan saluran air supaya tidak tersumbat bagi melancarkan aliran air di jalan raya utama di bandar raya. – Foto DBKL

Sementara itu, pemasangan flap gate di longkang saliran induk yang disalir ke sungai-sungai untuk mengelakkan aliran balik (back flow) air sungai ke kawasan rendah disebabkan paras air yang tinggi juga sedang diusahakan.

Menyedari amaran awal perlu dikeluarkan dengan pantas bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini, DBKL melaksanakan inisiatif Mesej Amaran Banjir Kilat (Flash Flood Text Alert) melalui aplikasi MOBIS kepada semua pemilik telefon yang telah memuat turun aplikasi tersebut di dalam telefon masing-masing dan telah berdaftar. Sehingga kini, seramai 266,919 orang telah berdaftar dan sebanyak 259 mesej amaran banjir/cuaca telah dikeluarkan bermula 17 Mei 2022.

Selain itu, DBKL turut dalam perancangan untuk tembok penahan banjir (flood wall) di semua kawasan jangkaan berlakunya limpahan sungai melalui kerjasama strategik dengan Jabatan Pengairan dan Saliran WP Kuala Lumpur (JPSWPKL).

Ketika ini, DBKL dalam proses mendapatkan reka bentuk yang sesuai bagi membina flood wall atau tembok tebatan banjir di lokasi hotspot banjir kilat yang telah dikenal pasti di ibu negara.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah, pembinaan flood wall itu akan menggantikan penggunaan guni-guni pasir yang bertindak sebagai langkah sementara bagi menangani masalah banjir kilat di ibu kota.

DBKL rancang bina Flood Wall untuk gantikan benteng guni pasir yang digunakan ketika ini bagi tangani banjir kilat.- Gambar Berita Harian.

Flood wall itu perlu direka dengan betul dan teliti supaya dapat menghalang limpahan arus deras ketika hujan lebat sekali gus berfungsi untuk menyekat air (banjir) daripada keluar ke kawasan yang rendah.

“Namun, kita sudah pun melantik kontraktor yang berwibawa untuk membinanya selepas rekaan itu siap tidak lama lagi,” katanya.

Manakala, Pelan Jangka Sederhana pula melibatkan lapan (8) projek pembinaan kolam takungan On Site Detention (OSD) bawah tanah atau terbuka; menaik taraf longkang sedia ada; pembinaan rumah pam; dan lain-lain hasil penemuan berdasarkan kajian semasa yang berterusan bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan-kawasan rendah.

Tujuh (7) projek mempertingkatkan sistem saliran yang kini dalam peringkat pengumpulan data kajian akan dilaksanakan di lokasi-lokasi terkesan yang telah dikenal pasti yang dijangka mengambil masa selama empat tahun.

Sementara itu, Pelan Jangka Panjang pula melibatkan pembinaan terowong/ kolam takungan air bawah tanah berkapasiti tinggi bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan-kawasan rendah di beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur terutamanya pusat bandar.

DBKL kini dalam proses mengkaji cadangan yang dikemukakan oleh pihak perunding Metodologi Kajian Kebolehlaksanaan (Feasibility Study) yang dikemukakan oleh pihak perunding bagi memastikan kebolehlaksanaan dibuat.

Tempoh pelaksanaan Pelan Jangka Panjang ini dijangka mengambil masa selama enam (6) tahun -Buletin TTKM-

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.