Kuala Lumpur, 4 Nov: Calon Perikatan Nasional yang menggunakan tiket PAS di kerusi parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal memohon maaf kepada semua ahli Parti Islam Se-Malaysia berhubung ciapan lamanya di Twitter yang digunakan untuk menyerang beliau.
“Saya amat kesali perkara ini, dan akan lebih berhati-hati di masa hadapan.
“PAS sebagai wadah perjuangan Islam dalam Perikatan Nasional telah membuktikan komitmen terhadap pemerintahan prihatin, bersih dan stabil di bawah prinsip amal makruf, nahi munkar.
“Saya akan terus bersama dengan Perikatan Nasional dan PAS untuk memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan untuk rakyat Kelantan dan Malaysia, menurut tuntutan Islam.
Segala yang baik datang dari Allah, segala yang buruk adalah dari diri saya sendiri”, katanya di laman facebooknya sebentar tadi.
Ciapan lama beliau yang menjadi tular semula itu antaranya menyifatkan penyokong PAS sebagai bodoh, yang kemudiannya diletak bersebelahan dengan poster kempen beliau untuk PRU-15 oleh netizen.
Ciapan itu bagaimanapun didapati tidak dapat diakses dipercayai dipadamkan pentadbir akaunĀ apabila ia dijadikan bahan oleh netizen.
Selain ciapan itu, ada beberapa ciapan lain yang turut dijadikan poster.
Beliau yang juga ketua Armada Parti Pribumi Bersatu itu pertama kali bertanding di kerusi parlimen untuk PRU-15 yang akan diadakan pada 19 November ini.
Beliau dijangkakan akan berdepan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang juga penyandang kerusi Parlimen itu dan Mejar Besar Muhammad Seman daripada Gerakan Tanah Air.-Buletin TTKM-