Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia di WP

KUALA LUMPUR: Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) di Wilayah Persekutuan dirangka baru-baru ini bagi meningkatkan pendapatan KIR berdasarkan minat keusahawanan mereka dengan bimbingan dan latihan yang berterusan.

Bagi merealisasikan hasrat ini, Unit Kemiskinan ditubuhkan di peringkat kementerian, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL) dengan fokus membasmi miskin tegar, menurut laporan Utusan Malaysia.

Kerjasama strategik turut dijalinkan dengan Unit Perancangan Ekonomi (UPE) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

Turut terlibat dalam usaha ini Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP); Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso); Universiti Malaya (UM); Universiti Putra Malaysia (UPM); Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Di Kuala Lumpur ia membabitkan Perumahan Awam PPR Kerinchi, PA Desa Rejang, PPR Kampung Muhibbah dan PPR Taman Mulia, sementara di Labuan, program itu dilaksanakan di Kampung Sungai Bedaun serta Kampung Patau-Patau 1 dan 2.

Bagi projek perintis Fasa 1 di Wilayah Persekutuan, sebanyak 179 Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIR MT) dikenal pasti, mereka yang terlibat adalah 132 KIR MT di Kuala Lumpur dan 47 KIR MT di Labuan.

DR. ROHANA JANI

Ketua Projek BMTKM Wilayah Persekutuan, Dr. Rohana Jani berkata, modul program ini dirangka mengikut kesesuaian minat tanpa mengira jumlah peserta itu dalam sesebuah bidang bagi memberikan kemahiran dan ilmu untuk terlibat dalam keusahawanan.

Beliau yang juga Pemangku Pengarah Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UACDS) Universiti Malaya berkata, pihaknya berperanan membantu dan memantau peserta agar boleh menjana pendapatan dan berdikari dari aspek kewangan tanpa bergantung kepada bantuan semata-mata.

“Peserta diterima secara automatik daripada data Kemiskinan Nasional (eKasih) yang disediakan ICU JPM kepada UACDS.

“Selepas itu, kami melakukan saringan meliputi latar belakang sosioekonomi, pendapatan, pekerjaan dan jumlah tanggungan mereka serta minat mereka dalam perniagaan,” katanya.

Jelas Dr. Rohana, skop pelaksanaan program merangkumi kursus sahsiah diri, kursus keusahawanan dan kursus spesifik berdasarkan minat bagi meningkatkan kualiti hidup seterusnya keluar dari miskin tegar pada hujung 2022.

“Selepas itu, kita beri pendedahan kursus keusahawanan supaya peserta dapat didedahkan dengan penetapan minda usahawan, konsep perniagaan dan pemasaran digital supaya mereka dapat meluaskan perniagaan mereka.

“Model seterusnya adalah kursus spesifik. Sebahagian daripada mereka mungkin ada pengalaman yang kebanyakannya belajar dari internet, tetapi ini penting supaya mereka dapat diajar dengan lebih khusus daripada pakar.

“Selepas peserta menjalani latihan, mereka akan diberikan bantuan peralatan asas dan bahan mentah bagi mengurangkan cabaran modal awal tanpa memulakan perniagaan dengan mereka dipantau rapat penyelidik dari UACDS,” katanya.

Terdahulu, BMTKM Wilayah Persekutuan Fasa 1 2022 secara rintis melibatkan 132 KIR yang berpendapatan bawah RM1,200 sebulan.

Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, PPR Kerinchi melibatkan sejumlah 57 orang, PA Desa Rejang (34 orang), PPR Kampung Muhibbah (33 orang), dan PPR Taman Mulia sebanyak lapan orang.

Dr. Rohana berkata, selain memperkasa minda dan sikap KIR bagi menjadikan keusahawanan sebagai salah satu kaedah penjanaan pendapatan, apa yang lebih mencabar adalah memastikan mereka kekal konsisten dalam modul yang dirangka ini supaya dapat keluar daripada miskin tegar.

“Penting untuk mereka merubah sikap diri mereka agar hidup mereka dapat diubah untuk keluar daripada kepompong kemiskinan,” jelasnya.

Menurut statistik yang dikeluarkan KWP, terdapat 1,842 penduduk miskin tegar di Kuala Lumpur diikuti dengan Labuan dengan 344 orang dengan jumlah keseluruhan seramai 2.186.

Daripada jumlah tersebut, KIR MT dipecahkan kepada dua kategori iaitu golongan yang produktif (berumur antara 16-59 tahun) seramai 1,087 orang dan golongan yang tidak produktif (berumur di bawah 15 tahun dan melebihi 60 tahun) seramai 1,099 orang.

KWP dengan kerjasama MAIWP dan JKM secara konsisten melaksanakan pelbagai program bagi membantu KIR MT yang dikenal pasti sebagai sasaran program pembasmian kemiskinan Keluarga Malaysia di Wilayah Persekutuan. -Buletin TTKM-

 



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik: