RM581,000 subsidi program jualan di Wilayah Persekutuan

SEPANG 05 DECEMBER 2021. Tinjauan orang ramai membeli belah barangan keperluan ketika Program Jualan Keluarga Malaysia di Dengkil. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

KUALA LUMPUR – Sejumlah RM581,000 nilai subsidi diberikan Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi Program Jualan Rakyat MYGrocer@Wilayah sejak 14 Julai lalu.

Program yang diadakan sekali seminggu khas untuk penduduk di Kuala Lumpur dan Labuan itu demi membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup melalui penyediaan jualan ayam dan telur ayam.

“Kadar subsidi bersasar sebanyak RM3 diberikan bagi pembelian seekor ayam (super), manakala RM0.50 subsidi bagi 10 biji telur ayam yang memanfaatkan seramai 147,000 penduduk di 61 Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di Kuala Lumpur.

“Sehingga 5 Ogos lalu, seramai 63,296 penerima manfaat menikmati subsidi ayam segar dan telur ayam di Kuala Lumpur sahaja dengan nilai subsidi yang dibiayai sebanyak RM221,536,” kata kementerian seperti dipetik laporan Kosmo!

Tambahnya lagi embekal-pembekal di bawah program berkenaan juga menjual barangan keperluan asas seperti ikan, daging, sayur-sayuran dan barangan makanan kering seperti gula, tepung dan minyak masak dengan kadar 5 hingga 20 peratus lebih murah berbanding pasar awam berdekatan penduduk, khususnya di PPR dan PA di Kuala Lumpur.

Katanya, ini merupakan inisiatif pembekal-pembekal sendiri tanpa melibatkan subsidi daripada kementerian.

“Pelaksanaan Program Jualan Rakyat MYGrocer@Wilayah di Labuan pula dilaksanakan melalui peruncit-peruncit yang dikenal pasti Perbadanan Labuan bagi memudahkan pemberian subsidi serta aksesibiliti kepada kumpulan sasar yang memanfaatkan seramai 15,000 penduduk di Wilayah Persekutuan itu.

“Dalam pada itu, mulai 15 Ogos ini, KWP akan melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia, selaras dengan arahan dan keputusan Jawatankuasa Jihad Menangani Inflasi.
“Melalui program ini juga, penduduk di PPR atau PA bakal mendapat manfaat dari jualan murah sebanyak dua kali seminggu, yang bakal dilaksanakan kelak,” ujarnya.

Selain daripada itu, pelbagai inisiatif berterusan dilaksanakan kementerian bertujuan menangani isu kos sara hidup antaranya MYSchoolBus@Wilayah, MYJob@Wilayah, MYMedic@Wilayah dan MYFood@Wilayah – Buletin TTKM-



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik: