UMNO kini hanya tinggal kaki bodek – Noh Omar

Kuala Lumpur, 2 Mei: Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mendakwa UMNO kini hanya tinggal kaki bodek dan mereka yang kalah dalam pemilihan ketua bahagian dan cawangan.

“Saya sayang UMNO, sejak belajar di United Kingdom (UK) dahulu kini sudah 30 tahun saya dengan UMNO. Namun UMNO kini hanya tinggal kaki bodek, kalah dalam pemilihan ketua bahagian dan cawangan.

“Lokman Adam, Isham Jalil, di peringkat bahagian pun mereka tak dapat menang macam mana UMNO kata itu suara akar umbi,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Katanya lagi, UMNO juga sudah mula hilang bisa dan kini hanya gah pada nama  susulan kepimpinan parti itu yang tidak lagi berpegang kepada perjuangan dan perlembagaan UMNO yang asal.

“Saya sayang UMNO. Masakan tidak, sudah lebih 30 tahun saya berjuang dalam UMNO demi orang Melayu dan rakyat,” katanya.

Noh berkata beliau faham dalam politik tidak ada yang kekal, pemimpin silih berganti apa yang ada hanyalah perjuangan sesebuah parti.

“Jika dilihat, di negara ini kebanyakan pemimpin parti politik utama kini adalah dari UMNO,

“Tun Dr Mahathir, bekas Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin, Anwar Ibrahim, Shafie Apdal, semua itu orang UMNO. Mereka pernah pegang jawatan dalam UMNO tetapi apabila tidak setuju dengan pemimpin pada masa itu, mereka dipecat atau letak jawatan dan teruskan kerjaya politik mereka dengan pasukan (parti) lain,” katanya.

Beliau turut mengesahkan akan  bertanding pada PRN negeri akan datang atas tiket Perikatan Nasional dan berikrar akan  menjadikan Parlimen Tanjung Karang sebagai kubu kuat Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang selepas sekian lama dikuasai UMNO.

Pada PRU ke 15 lepas, Tan Sri Noh Omar digugurkan  daripada senarai calon Barisan Nasional (BN). Beliau sebelum itu mewakili parlimen Tanjung Karang selama enam penggal.

Perikatan Nasional merampas kerusi parlimen itu pada PRU 15 dengan majoriti nipis 2,180.

Pada Januari lepas, MKT UMNO melakukan ‘pembersihan’ dengan memecat dan menggantung beberapa pimpinan dengan alasan mensabotaj parti dan berkempen untuk calon lain ketika PRU15 lalu.

Tan Sri Noh Omar antaranya digantung selama 6 tahun. – Buletin TTKM-

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.