JOHOR BAHRU: Seorang pengasuh di sebuah taska swasta di Mutiara Rini, Skudai, direman empat hari kerana disyaki mender@ dua bayi.
Mangsa merupakan kanak-kanak perempuan berumur 11 bulan dan kanak-kanak lelaki berumur 9 bulan.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret R Salini ke atas suspek wanita berusia 21 tahun itu bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadapnya mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001.
Suspek yang juga warga tempatan itu dibawa ke mahkamah dengan berpakaian lokap berwarna jingga dan ditahan reman sehingga Jumaat ini, lapor Berita Harian.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menahan suspek itu kira-kira jam 2 pagi tadi di kawasan Bandar Selesa Jaya, Skudai.
“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kejadian berlaku di sebuah taska yang berada di kawasan Mutiara Rini.
“Mangsa adalah kanak-kanak perempuan berusia 11 bulan dan kanak-kanak lelaki berusia sembilan bulan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kamarul Zaman berkata, siasatan awal mendapati taska berkenaan tidak mempunyai lesen sah beroperasi.
Pada masa sama, beliau mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan kejadian dan boleh menghubungi pegawai penyiasat kes di talian 019-8822403 untuk membantu siasatan.
Semalam, tular di media sosial satu hantaran yang memaparkan dua video masing-masing berdurasi 48 saat dan 39 saat memaparkan seorang wanita mengasar1 seorang bayi di laman facebook aktivis Mona Din.
Wanita tersebut dilihat menghempas kepala bayi yang sedang menangis kemudian memukul kepala bayi tersebut beberapa kali.
“Diam! Kenapa? Kenapa?” kata wanita tersebut.
Apabila bayi tersebut berterusan menangis, wanita itu kemudian meniup-niup ke wajah bayi tersebut.
“Eiiii geramnya aku dengan kau ni!” ujarnya sambil terus meniup sehingga menyebabkan bayi itu seperti sukar bernafas. -Buletin TTKM-