Tuduh PMX pel*wat, SetPol Kanan PMX buat laporan polis terhadap Radzi Jidin di seluruh negara.

Kuala Lumpur, 20 September: Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata laporan polis akan dibuat terhadap ahli parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin berhubung kenyataan ahli parlimen Bersatu itu di dewan rakyat semalam yang  menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pel*wat.

“Saya minta jawapan (dari Radzi Jidin) apakah benar Yang Berhormat jawab perkara ini, dan kita akan tengok hansard dewan rakyat. Kalau tidak, kita akan buat laporan polis di seluruh negara”

Terdahulu, beliau meminta Radzi Jidin supaya jangan koyak dalam perbahasan di dewan rakyat.

Menjelaskan lebih lanjut, Shamsul berkata perkara yang dibangkitkan perdana menteri adalah pentadbiran Putrajaya sebelum ini dan  mengenai DNAA dalam kes Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Putrajaya sepatutnya baca peraturan mesyuarat dan Speaker Dewan Rakyat untuk mengeluarkan petua atau pun keputusan dengan bertanya kepada Anwar bagi menjelaskan apa sebenarnya yang diperkatakan.

“Maknanya, sesuatu isu yang dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen khususnya dalam Peraturan 36(6) iaitu sangkaan jahat, maka speaker perlu bertanya semula kepada seseorang ahli yang membangkitkan perkara itu.”

“Dalam konteks ini, speaker kena tanya Perdana Menteri dan beliau telah menjelaskan beberapa kali bahawa dia merujuk kepada pentadbiran di mana Ahli Parlimen Putrajaya menjadi sebahagian daripada jentera pentadbiran yang lalu,” katanya.

Ujar Shamsul lagi, selepas mendengar penjelasan, Speaker Dewan Rakyat telah membuat keputusan.

“Keputusannya tidak ada isu dan telah pun dijelaskan oleh speaker. Jika jawapan itu tidak memuaskan hati Putrajaya, peruntukan Perkara 99 Peraturan Mesyuarat menjelaskan bahawa Radzi boleh membuat usul kepada speaker.

“Perkaranya mudah sahaja tetapi Ahli Parlimen Putrajaya sengaja hendak menegakkan benang yang basah,” katanya.

Shamsul berkata demikian dalam satu video yang dimuat naik di akaun twitter Shamsul Iskandar Comms.

Sementara itu, Buletin TTKM meneliti hansard  perbahasa semalam di Dewan Rakyat yang disiarkan baru sebentar tadi di laman sesawang Parlimen Malaysia.

 

Kenyataan Radzi Jidin mengenai hal itu jelas di mukasurat  151:

Tuan Yang di-Pertua: Kalau Putrajaya tidak setuju dengan saya, tulis kepada saya tetapi saya bertanyakan. [Dewan riuh]

Datuk Dr. Radzi bin Jidin [Putrajaya]: Saya tidak bersetuju! Sekarang saya minta Tambun tarik balik! [Dewan riuh] Apa susah?

Datuk Awang bin Hashim [Pendang]: Mana boleh, kena settle hari ini, kenyataan dalam Parlimen. Yang Amat Berhormat Tambun ini Perdana Menteri! Dia tidak boleh simply
bercakap macam itu! You are number one! You are number one! We respect you! Better you pull out!

Datuk Dr. Radzi bin Jidin [Putrajaya]: Tuan Yang di-Pertua! Tuan Yang di-Pertua! Kalau saya kata saya yakin Tambun pel*wat, kalau saya kata saya yakin Tambun pel*wat.

[Dewan riuh] Saya yakin Tambun pel*wat! Saya yakin dia pel*wat! Hendak cakap apa?

Datuk Awang bin Hashim [Pendang]: You’re number one! You tidak boleh, tidak
boleh. Bangkit! Bangkit!

[Dewan sangat riuh]
[Ramai Ahli Pembangkang berdiri]
[Pembesar suara dimatikan]

Pada perkembangan yang sama, satu kenyataan rasmi dari Majlis Setiausaha-Setiausaha Politik Kerajaan Madani mendesak supaya satu hukuman dikenakan terhadap Radzi Jidin.

“Majlis Setiausaha-Setiausaha Politik Kerajaan Madani dalam mesyuarat hari ini sebulat suara membidas tindakan biadap Ahli Parlimen Putrajaya Dr Radzi Jidin dan berpendirian bahawa beliau mesti dihukum atas kenyataan jahat yang dibuat terhadap YAB Perdana Menteri serta keengganan beliau mematuhi arahan Yang di-Pertua Dewan Rakyat di dalam Parlimen sewaktu sesi penggulungan KSP RMK-12 semalam.” kata kenyataan itu yang dikeluarkan oleh pengerusinya, Shamsul Iskandar.

“Sehubungan dengan itu, Mesyuarat Majlis Setiausaha-Setiausaha Politik Kerajaan Madani dengan ini telah membuat ketetapan untuk meminta Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, memulakan segala usaha yang perlu bagi menggantung tugas Dr Radzi Jidin sebagai pengajaran kepada semua Ahli Parlimen. Adalah amat menjengkelkan apabila seorang bekas Menteri Kanan gagal menghayati prinsip Rukun Negara, Kesopanan dan Kesusilaan. Tindakan biadap Dr Radzi Jidin yang ditunjukkan kepada seluruh negara tidak wajar dibiar begitu sahaja.” kata kenyataan itu lagi.

 

-Buletin TTKM-



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik:

Exit mobile version