CHIOK Wai Loong dibawa ke di Mahkamah Sesyen Jenayah (Siber) Kuala Lumpur di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan menghina agama Islam berkaitan isu penjualan stoking bertulisan kalimah Allah. FOTO Aswadi Alias, Harian Metro

Berita

Perolok kalimah Allah, lelaki dipenjara 6 bulan, denda RM12000

By Buletin TTKM

March 22, 2024

Kuala Lumpur: Seorang juruteknik aplikasi sosial berumur 34 tahun, Chiok Wai Loong, dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan membuat hantaran bersifat jelik berkaitan kalimah Allah di media sosial lapor Harian Metro

Hakim Suzana Hussin memutuskan hukuman tersebut selepas tertuduh mengaku bersalah.

Chiok, yang tidak diwakili peguam, mengaku hanya menjadi pahlawan kekunci dan tidak menyedari sensitiviti kalimah tersebut kepada umat Islam.

“Saya tidak sengaja, hanya mahu menjadi ‘keyboard warrior’, saya tidak tahu perkataan itu sensitif kepada orang lain,” katanya dalam rayuannya.

Dia juga memohon maaf atas tindakannya, dan berkata tidak bermaksud menghina agama lain.

“Saya ingat ini benda kecil. Saya tak tahu jadi serius macam ini,” katanya dengan sebak.

Chiok berjanji tidak akan mengulangi kesalahan yang sama pada masa depan dan memohon mahkamah mengurangkan hukumannya agar tidak kehilangan pekerjaannya.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh memohon hukuman berat, setimpal, dan menjadi pengajaran kepada masyarakat.

“Sebanyak 24 laporan polis dibuat orang ramai berhubung isu ini yang menunjukkan keseriusan hantaran yang dibuat bersifat sensitif kepada penganut agama Islam,” katanya.

Sebelum ini, Chiok telah membuat permohonan maaf terbuka setelah mendapat ‘nasihat’ dari kumpulan silat diketuai seorang lelaki yang dikenali sebagai Panglima Aduka.

Kerana perbuatan itu, dia juga menjadi mangsa dedah maya oleh pihak tidak berpuas hati lalu berkongsi maklumat peribadinya di alam maya.

Isu ini bermula dari kontroversi jualan stoking bertulis kalimah Allah di kedai serbaneka, yang mencetuskan kemarahan pengguna maya.

Hantaran yang telah dipadamkan di laman facebooknya

Chiok kemudian menaikkan dua hantaran   berbentuk sindiran di laman facebooknya dengan memuat naik gambar stoking yang memuatkan wajahnya sendiri dan meminta orang ramai tidak terlalu sensitif dengan isu tersebut.

Malah,  pakar hadis, Dr Rozaimee Ramle menaikkan hantaran mengkritik  isu tersebut, mendapat 7800 perkongsian dan 11k reaksi.

“Umat Islam berhak marah dalam isu ini. Sukar untuk saya terima alasan “terlepas pandang atau tidak sengaja” kerana jelas ada tulisan Jawi/Arab dan Rumi sekali. Amat sukar untuk seseorang tidak boleh membaca tulisan rumi.Oleh kerana itu, ada wajarnya cadangan untuk boikot peniaga dan pengilang stoking ini.Orang bukan Islam yang rasa ok tidak perlu pertikai kemarahan umat Islam. Boleh tunjukkan ke”ok”an anda dengan letakkan lambang agama anda di kaki anda. Kami orang Islam tidak mahu masuk campur.”  – Dr Rozaimee Ramle

 

– Buletin TTKM-