Dilema pemilihan PKR: Suami, Isteri atau Azmin jadi presiden? (Bahagian 1)

Oleh Editorial TTKM

PKR akan melangsungkan pemilihan parti pada hujung bulan 8 ini setelah ditangguhkan kerana ingin menumpukan perhatian kepada PRU14 yang lepas.

Persoalannya sekarang adakah Anwar Ibrahim akan bertanding sebagai presiden PKR?

Pada ketika ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau lebih dikenali sebagai KetUm memegang jawatan Ketua Umum, jawatan yang tiada diperuntukkan dalam perlembagaan PKR. KetUm diwujudkan khas buat beliau selepas dibebaskan dari penjara pada 2004, kerana beliau tidak dibenarkan berpolitik selama lima tahun berkuat kuasa daripada tarikh pembebasan itu.
Malaysiakini Team mendakwa  “cubaan lepas Anwar untuk mengambil alih presiden parti dari isterinya telah terganggu akibat dari halangan undang-undang akibat dari perbicaraan Sodomi 2” 

Jawatan Presiden Khas buat isteri.

TTKM mendapati dakwaan Malaysiakini ini  meleset. Anwar sudah pun memulakan langkah untuk menjadi Presiden PKR pada pemilihan 2014. Rujuk berita Sinar Harian di sini  . Selepas Wan Azizah mencalonkan dirinya sebagai presiden, Anwar kemudian menyusul menyerahkan borang pencalonan. Pada ketika itu, Azmin Ali  juga turut mengintai kerusi tersebut, tetapi terpaksa melupakan hasrat beliau kerana tidak mahu dilihat menentang Anwar.

Pertandingan suami isteri sebagai presiden parti ini  kemudiannya menjadi bahan jenaka di media sosial.

Anwar akhirnya menyatakan bahawa beliau dan isterinya, tidak akan bertarung sesama sendiri atas perjanjian ‘hidup mati bersama’.

“Hanya seorang yang akan bertanding. Calonnya ialah sama ada Anwar atau Azizah.
Saya dan Azizah berada dalam kem hidup mati bersama. Tak mungkin kami bertanding sesama sendiri. Malah, peraturan pemilihan turut benarkan calon tarik diri pada saat-saat akhir,” – Anwar Ibrahim.

“Hidup mati bersama” – Gambar dari The Star

Ditanya mengapa perlu mempertimbangkan kemungkinan untuk menarik diri, Anwar berkata beliau mengutamakan kepentingan parti berbanding cita-citanya mahu menjadi Presiden PKR.

“Saya tak boleh abaikan kepentingan parti ini. Jika keputusan saya bertanding dan kemudiannya menang akan menyebabkan PKR dibatalkan oleh akta pertubuhan, saya tidak akan meneruskannya,” – Anwar Ibrahim

PKR berdepan risiko dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) ketika itu jika Anwar meneruskan hasrat untuk bertanding jawatan presiden.

Bagaimanapun, tanggapan itu disangkal peguam PKR, Radzlan Jaludin yang mengatakan Anwar masih boleh bertanding berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 9 (4) Akta Pertubuhan.

Pada saat akhir pencalonan ditutup, Anwar menarik diri dari pertandingan Presiden PKR di mana isterinya, Wan Azizah menang tanpa bertanding manakala Azmin terlepas peluang bertanding kerusi presiden tersebut.  Azmin kemudian berentap dengan Tan Sri Khalid dan Saifudin Nasution untuk kerusi Timbalan Presiden.

Senario selepas PRU14

PKR kini merupakan parti yang mempunyai bilangan kerusi terbanyak dalam kerajaan Pakatan Harapan. Sesiapa yang menguasai kerusi Presiden PKR tersebut sebenarnya mempunyai suara yang paling kuat dalam kerajaan, juga sebagai tulang belakang kerajaan.

Memahami perkara ini,  Tun Dr Mahathir telah memulakan langkahnya dengan melantik anak angkat beliau, Azmin Ali sebagai Menteri Ekonomi dimana portfolio ini memegang ‘national coffers’ GLC sekaligus menjadikan Azmin antara menteri paling ‘berkuasa’ dalam PKR. (Ironinya, Lim Guan Eng cuma diberikan portfolio Kementerian Kewangan yang memegang syarikat bermasalah 1MDB.) Setelah gagal mencaturkan presiden parti UMNO, pemilihan presiden PKR kini menjadi percaturan yang baru buat beliau.

Ini adalah kerana, siapa yang menjadi  presiden PKR akan menentukan siapa yang bakal menjadi PM ke-8. Mahu atau tidak, Wan Azizah harus memberikan laluan kepada suaminya, malah beliau sendiri mengatakan bahawa kedudukannya cumalah sebagai ‘pemanas kerusi’.

Ketika itu, jika benar anak jantan, PKR akan melihat buat pertama kali pertandingan satu  lawan satu di antara Anwar dan Azmin.

Bersambung..

 

 



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik:

Exit mobile version