Telegram sedia kerjasama perkemas kawal selia platform- Fahmi

Dubai: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil, mengumumkan bahawa Telegram bersedia untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam usaha memperkemas aspek kawal selia, terutama untuk membanteras aktiviti scam dan judi dalam talian di platform tersebut.

Kesediaan ini disampaikan sendiri oleh pengasas dan pemilik Telegram, Pavel Durov, semasa perjumpaan mereka di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu pada Sabtu, semalam.

“Perbincangan kami amat positif dan banyak fokus diberikan kepada perkara berkaitan kerangka kawal selia platform itu dan teknologi baharu (termasuk AI).

“Pavel menyatakan minat untuk mengadakan perbincangan lanjut tentang beberapa peluang kerjasama dengan Kerajaan Malaysia, selain memberi komitmen dan bersedia untuk melebarkan sayap operasi ke Malaysia pada masa akan datang.” tulis Fahmi di laman facebooknya.

Fahmi Fadzil turut menjemput Pavel Durov untuk datang ke Malaysia bagi meneruskan perbincangan dengan semua pihak berkaitan, sekaligus  menandakan langkah positif dalam memperkuat kerjasama antara Telegram dan pihak berkuasa Malaysia dalam memastikan keselamatan dalam ekosistem digital negara.

Perjumpaan ini adalah susulan daripada mesyuarat yang dilakukan oleh wakil Telegram bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Jun 2023.

Ketika itu, Fahmi berkata, sejak Januari 2020 hingga 2023, jumlah kerugian yang ditanggung oleh rakyat Malaysia akibat pelbagai aktiviti penipuan menerusi Telegram mencecah RM45 juta.

Sehubungan itu, tegasnya kerajaan tidak akan berdiam diri dan membenarkan penjenayah berselindung di sebalik identiti palsu.

Pada 28 Mei 2023, Telegram dilaporkan berkata pihaknya tidak bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital kerana enggan terlibat dalam “sebarang bentuk tapisan politik”.

Walaubagaimanapun, kesediaan Telegram untuk bekerjasama dengan SKMM untuk kali ini difahamkan tidak melibatkan aspek tapisan politik – Buletin TTKM-



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik:

Exit mobile version