Menjadi kerajaan lebih payah berbanding menjadi pembangkang. 

Oleh : -thehjOsaMa-

Menjadi kerajaan lebih payah berbanding menjadi pembangkang.

Saya berada di sepanjang tempoh parlimen bersidang kali ini. Saya juga banyak berada di dalam dewan berbanding di cafe sepanjang bersidang. Saya merumuskan, pembangkang menang berbanding dengan kerajaan dalam pusingan pertama ini.

Isu perlantikan speaker memberi tamparan hebat kepada sebuah kerajaan baru. Walau pelbagai alasan di berikan ternyata hujah pembangkang lebih manis dan enak untuk di telan. Kerajaan kononya lebih telus tercalar teruk.

Jawapan- jawapan menteri baru juga banyak yang tidak kesampaian. Banyak yang ‘konar’ dan tidak mencapai maksud. Lebih memedihkan, jawapan menteri dan timbalan menteri hanya banyak di selamatkan dengan kekacauan daripada ahli parlimen Jelutong. Beliau berjaya menjadi pengacau yang sangat baik kepada pembangkang di parlimen. Terkadang kekacauannya seolah ‘budak darjah 3’. Menjengkelkan.

Perbahasan Penghapusan GST juga banyak dimenangi oleh pembangkang. Khairy Jamaluddin dan Ahmad Maslan menjadi hero yang cukup baik dalam hal ini. Menteri kewangan dan pembantunya Tony Pua terkial- kial menyediakan jawapan. Malah cukai baru SST juga seakan ‘terkehel’ dan seakan sukar untuk dicari sebab bagi menggantikan GST.

Begitu juga perbahasan penghapusan Akta Berita Tidak Benar. Hujah- hujah pembangkang sangat jitu dan kukuh. Pas yang turut menolak penghapusan akta ini menjadi pembangkang yang sangat baik dan aktif pada kali ini. Nampaknya jolokan ‘Pasu bunga’ kini sudah kelihatan ‘pecah’.

Ahli parlimen daripada Barisan Nasional seperti daripada Kuala Kurau, Grik dan hero- hero lama seperti Pasir Salak, Kinabatangan malah Pekan benar- benar aktif mendesak kerajaan baru. Manakala pendatang baru daripada Pas seperti Pendang, Kuala Krai dan Kubang Kerian seakan tidak kekok bersama orang lama daripada Pengkalan Chepa, Rantau Panjang dan Kota Bharu.

Saya menjangkakan dewan akan lebih rancak semasa pembentangan bajet pada 15 Oktober nanti. Nyatanya sidang akan datang akan lebih lama dan tentunya lebih banyak isu selepas kerajaan baru yang ternyata ‘gagal’ untuk 100 hari pertamanya.

Bersamalah kita berdoa agar negara kita akan menjadi lebih baik. Sepertimana kata Saidina Fudhail Ibnu Iyyad

“Kalau aku memiliki sebuah doa yang mustajab, tidak aku mendoakan melainkan untuk kebaikan imam atau pemimpin, kerana baiknya pemimpin itu, baik jugalah nanti untuk negeri dan masyarakatnya.” – Saidina Fudhail Ibnu Iyyad

Konklusinya, ternyata menjadi kerajaan lebih payah berbanding menjadi pembangkang. Kepada kerajaan ingatlah semasa anda menjadi pembangkang dahulu, manakala kepada pembangkang, berhatilah semasa membangkang kerana anda mungkin akan menjadi kerajaan nanti.

-TTKM-
(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian TTKM– Editor)

 



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik:

Exit mobile version