“Bantulah Utusan. Mereka sebahagian dari kita” – Najib Razak

Malaysia's former prime minister Najib Razak speaks to Reuters during an interview in Langkawi, Malaysia June 19, 2018. REUTERS/Edgar Su

Oleh : Najib Razak

Saya sedih dan bertambah marah apabila membaca berita bahawa Utusan mungkin menghentikan operasi hari Rabu ini sedangkan gaji pekerja telah tertunggak berbulan-bulan.

Utusan sebagai akhbar paling lama dalam Malaysia sejak 1939 bukan sekadar sebuah syarikat media sahaja tetapi merupakan simbol dan khazanah orang Melayu dan berkait rapat dengan sejarah Malaysia.

Awal bulan Februari tahun ini, UMNO telah jual kepentingan saham kita dalam Utusan. Ini pun selepas akaun UMNO dibeku oleh kerajaan PH yang zalim.

Dengan itu, kuasa kawalan dan pengurusan Utusan tidak lagi dalam tangan UMNO.

Pun begitu, Utusan tetap dekat dengan hati kita.

Kalau Utusan dalam bahaya, sudah tentu UMNO ingin tolong.

Tetapi, bagaimana kita boleh tolong?

Akaun bank UMNO telah dibeku sejak PRU14 oleh kerajaan PH yang zalim ini.

Dana PRU14 UMNO yang berjumlah RM116 juta itu juga telah disita dan dibekukan oleh kerajaan PH.

Selepas setahun menyiasat, kerajaan tidak dapat membuktikan bahawa dana-dana dalam akaun UMNO dan dana PRU14 UMNO adalah dari hasil dari jenayah.

Mengikut undang-undang, kerajaan PH patut hentikan arahan pembekuan akaun UMNO dan memulang balik dana-dana tersebut jika tidak ada dakwaan jenayah dalam masa setahun itu.

Kerajaan PH tahu dan sedar bahawa dana ini adalah dana sahih dan patut dipulangkan.

Namun, kerana penindasan politik mereka telah mengeluarkan saman sivil untuk terus membeku dana tersebut untuk menyusahkan UMNO dan saya.

Utusan turut menjadi mangsa.

Kalau kerajaan PH hentikan arahan membeku akaun UMNO dan mengembalikan dana yang mereka sita secara haram hari ini, esok kita akan tolong Utusan.

Tetapi usahlah nak idamkan kerajaan PH akan bertindak adil. Mereka tak akan peduli.

Utusan nak jual aset untuk menyelesaikan masalah aliran tunai, kerajaan PH pun lambat untuk meluluskan.

Jangan harap kerajaan PH akan membantu akhbar paling lama di Malaysia ini.

Jangan harap kerajaan PH akan menyelamatkan khazanah budaya dan lidah orang Melayu ini.

Oleh itu, inilah masanya rakyat semua tampil ke depan untuk menolong.

Belilah senaskah Utusan atau Kosmo setiap hari.

Layarlah dan kongsikan artikel-artikel dari laman web Utusan.

Perniagaan yang ada bajet pengiklanan boleh mempertimbangkan untuk membeli ruang iklan di Utusan atau Kosmo.

Manakala ahli perniagaan yang memiliki kemampuan seharusnya melihat untuk melabur atau bekerjasama dengan Utusan kerana ia masih mempunyai potensi dan kakitangan yang berpengalaman jika diuruskan dengan sebaiknya.

Kita sama-sama tolong kembalikan zaman kegemilangan Utusan.

Akhbar ini berjuang untuk kita. Masanya tiba untuk kita bantu dan berjuang untuk mereka pula.

Bantulah Utusan. Mereka sebahagian dari kita.


Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Buletin TTKM- Editor. 



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik:

Exit mobile version