PAS tiada masa depan jika abaikan anak muda

Oleh :Nami Cob Nobler

Seperti mana yang aku janjikan, aku akan menulis tentang sebuah parti politik Malaysia yang bernama PAS.

PAS adalah sebuah parti yang agak lama bertahan dalam negara ini, ditubuhkan sejak 1951, parti ini merupakan parti kedua paling tua yang masih kekal dalam Malaysia, belakang UMNO.

Jadi untuk menceritakan tentang sejarah PAS ni memang panjang. Untuk mengatakan penglibatan PAS dalam arena politik Malaysia memang banyak, adalah satu understatement.

Tetapi sejak sepuluh, mungkin belas-belas tahun kebelakangan ni, PAS dilihat seperti sudah mula tidak berevolusi.

Parti ini sudah mula dibarisi oleh barisan tua dan kalau ada orang muda pun, berperangai macam orang tua. Bayangkan yang masuk PAS ni kalau millennial pun, perangai macam boomer. Gen Z memang langsung tak pandang parti ni.

Aku faham, dalam sistem politik Islam, ada satu perkara yang disebut sebagai wala’ (https://berita.pas.org.my/wala-dan-taat-penapis-berjemaah/). Wala’ ini adalah satu kesetiaan kepada ketua dan setiap pengikut haruslah setia kepada pemimpin.

Dalam politik assabiyah, seperti yang ditulis oleh Ibnu Khaldun berjudul Muqaddimah, memang ada mengatakan seorang pengikut harus taat dan setia kepada ketua demi organisasi politik yang kukuh.

Tetapi dalam masa sama, dalam membina kekuatan organisasi, seorang yang memimpin juga haruslah mendengar pandangan yang lain supaya terbentuk musyawarah untuk memastikan survival sebuah organisasi akan terus terjaga.

Seorang ketua haruslah meraikan pendapat yang pelbagai supaya dapat melihat perspektif yang lebih besar dari sekadar satu jenis pandangan sahaja.

Sekarang, PAS sedang menghidap penyakit ‘boomer ego’, iaitu ego golongan boomer yang mahu pendapatnya sahaja diketengahkan. Sedangkan dalam abad ke-21 ini, ada banyak pendapat yang pada hemah aku sementara ia progresif, ia tidaklah melanggar syariah dan batas agama.

Aku faham, politik PAS adalah politik Islam. Tetapi dalam politik Islam dunia hari ni sudah banyak berbincang tentang perkara-perkara progresif seperti hak wanita dan penjagaan alam, kepimpinan PAS masih lagi di takuk pemikiran era 80an.

Dan disebabkan itu, PAS merupakan parti yang tidak disukai golongan muda terutamanya millennials dan Gen Z.

Sekarang, aku tidaklah menyokong ageism dan adakalanya apa yang budak muda ni perjuangkan pun ada yang tak masuk akal juga, tetapi kegagalan kepimpinan PAS untuk mengakui yang masyarakat sekarang dah berubah, dan perlu mengubah paradigma pemikiran, akan menjadikan parti ini hanya untuk golongan dinosaur yang semakin hari semakin nak mereput.

Kalau kita tengok Presiden parti pun, Abdul Hadi Awang, menjadi Presiden PAS sejak tahun 2002. Tahun depan dah genap 20 tahun dia jadi Presiden parti.

Bayangkan tahun 2002 tu, masa tu lagu Avril Lavigne tengah juarai carta, Ronaldo Brazil masih lagi berbisa dan Mahathir masih lagi PM4. Tak rasa ke PAS harus berubah kepimpinannya demi survival parti?

Antara punca kejatuhan UMNO pada tahun 2018 pun sebab membiarkan Mahathir menjadi presiden selama 22 tahun. Akibatnya parti itu mempunyai barisan kepimpinan dan pelapis yang lemah akibat tidak ada rejuvenasi dari generasi yang baru.

Sure ada penyokong PAS akan cakap, “tapi Anwar jadi leader PKR sejak 1998, kenapa kau tak cakap pulak?”

Jawapan aku, sementara Anwar memegang parti tu macam dia punya, Anwar masih lagi mendengar cakap orang muda dan berubah mengikut masa dan zaman.

Kau rasa perubahan tu menunjukkan tak tetap pendirian, tapi ada masanya pendirian pun perlu berubah mengikut peredaran zaman.

Kalau nak ikut pemikiran kena stay true dan tak payah berubah, aku masih guna telefon dial pusing, dan aku tulis novel pakai typewriter.

PAS hari ini dipenuhi oleh golongan opportunis yang mengambil kesempatan dalam politik identiti abad ke-21 seperti yang ditulis oleh Francis Fukuyama dalam buku Identity: The Demand for Dignity and the Politics of Resentment.

Kalau pada abad ke-20 persoalan politik manusia ialah berkenaan ekonomi, abad ke-21 persoalan politik manusia ialah tentang identiti. Dan politik agama, adalah termasuk dalam politik identiti.

Dalam keadaan ini, golongan opportunis ini mengambil kesempatan dengan mengunakan kepercayaan masyarakat dalam politik identiti agama ini untuk memperkayakan diri sendiri, dan memperkukuhkan kuasa.

Sedangkan dalam Islam, perkara yang tu lah yang paling ditegah.

Golongan muda hari ini melihat PAS sebagai parti penunggang agama, dan melihat kepada kepimpinan PAS, mereka tidak berminat untuk mengubah persepsi anak muda itu kepada sebuah parti yang lebih mesra anak muda.

Dan jika tidak ada golongan muda yang mahu menyokong, akan datang parti ini makin lama makin tua dan ahli yang lain pun semakin ramai yang meninggal dunia, itu lumrah alam.

Jadi kalau PAS terus kekal berperangai defensif dengan menyerang orang lain yang mempunyai pendapat yang berbeza, terus ada pemimpin yang cakap merapu tak berfikir, dan terus mengenepikan perkara seperti isu alam sekitar atau hak wanita, alamatnya lagi 5-10 tahun lagi, PAS akan jadi parti nyamuk macam PPP atau Gerakan yang semakin malap masa depannya.

Nanti kalau dah jadi macam tu, jangan cakap ‘ambo tak royak’.



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik: