Pemandu memotong secara berbahaya- Timb Menteri mohon maaf.

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), YB Ahmad Marzuk Shaary memohon maaf berikutan isu kenderaan yang dipandu kakitangannya secara merbahaya yang tular di media sosial baru-baru ini.

” Saya memohon ribuan kemaafan atas isu yang timbul. Semoga peristiwa ini memberi peluang untuk kami terus menjalankan tugas dengan penuh jujur dan berintegriti, demi rakyat Malaysia. “

Katanya, insiden tersebut kini sedang dalam siasatan pihak berkuasa manakala staf yang terlibat juga telah dipanggil memberikan keterangan beliau.

“Saya serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan yang sewajarnya. Dan sekiranya dikenakan hukuman, semoga ia menjadi asbab kebaikan dan penambahbaikan buat beliau dan saya sendiri. Biarlah hukuman itu di atas dunia, andai dengan sebab itu, ia melepaskan kami dari hukuman di akhirat.” katanya.

Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih buat mereka yang merakam dan menegur kesalahan tersebut.

“Saya amat menghargai teguran dan nasihat yang diberikan, samada secara terus kepada saya, atau melalui komen di media sosial.

Sebagai seorang insan yang tidak sempurna, saya mengambil tanggungjawab atas teguran yang diberikan, dan menjadikan ia sebagai penambahbaikan buat saya dan kakitangan saya.”

Beliau berkata demikian di laman facebooknya sebentar tadi.

Pada ahad lepas, video kenderaan tersebut memotong di jalan bertanda garisan berkembar tular di media sosial. Apabila kenderaan itu menyedari terdapat lori di hadapannya pada arah bertentangan, kenderaan tersebut kemudian menghidupkan lampu kecemasan untuk kembali masuk ke lorong asalnya. Polis Kelantan kemudian mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan sedang melakukan sisasatan.

Berikut merupakan kenyataan penuh beliau:

TEGURAN ITU SUATU PEMBAIKAN

Setiap orang tidak lari dari kesalahan, dan perlu ada insan lain yang menegur kesalahan tersebut. Setiap teguran adalah penambahbaikan, terutama kepada seorang pemimpin.

Daripada Aisyah R.A, ia berkata; Rasulullah SAW pernah bersabda: “Apabila Allah menghendaki kebaikan pada diri seorang pemimpin, maka Dia menjadikan bagi orang itu pembantu yang jujur. Jika pemimpin itu lupa, maka ia akan mengingatkannya. Jika ia ingat, maka pembantu itu akan membantunya. Apabila Allah menghendaki keburukan pada diri seorang pemimpin, maka Allah menjadikan baginya pembantu yang tidak baik. Jika ia lupa, maka ia tidak akan mengingatkannya. Jika ia ingat (lakukan perkara yang betul), maka pembantu itu tidak akan membantunya”. (HR Abu Dawud).

Rentetan isu yang tular baru-baru ini, saya ucapkan jutaan terima kasih buat mereka yang merakam dan menegur kesalahan tersebut. Saya amat menghargai teguran dan nasihat yang diberikan, samada secara terus kepada saya, atau melalui komen di media sosial.

Sebagai seorang insan yang tidak sempurna, saya mengambil tanggungjawab atas teguran yang diberikan, dan menjadikan ia sebagai penambahbaikan buat saya dan kakitangan saya.

Insiden tersebut kini sedang dalam siasatan pihak berkuasa. Staf yang terlibat juga telah dipanggil memberikan keterangan beliau. Saya serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan yang sewajarnya.

Dan sekiranya dikenakan hukuman, semoga ia menjadi asbab kebaikan dan penambahbaikan buat beliau dan saya sendiri. Biarlah hukuman itu di atas dunia, andai dengan sebab itu, ia melepaskan kami dari hukuman di akhirat.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila Allah menginginkan kebaikan kepada hamba-Nya, Allah akan segerakan saksi untuknya di dunia. Dan apabila Allah menginginkan keburukan kepada hamba-Nya, Allah akan menahan azab baginya akibat dosanya (di dunia), sampai Allah membalasnya (dengan sempurna) pada hari Kiamat.” (HR At-Tirmidzi dan Al Hakim dari Anas bin Malik)

Saya memohon ribuan kemaafan atas isu yang timbul. Semoga peristiwa ini memberi peluang untuk kami terus menjalankan tugas dengan penuh jujur dan berintegriti, demi rakyat Malaysia.

28 September 2021 / 21 Safar 1443H



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik:

Exit mobile version