Kritikan kepada artikel Bintang Kartika: “GEJALA HOMOSEKSUAL & PEDOFILE PADA KHALIFAH DAN CENDEKIAWAN MUSLIM DAHULU KALA.”

Oleh : Muhammad Izzat Al-Kutawi

(Artikel ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian TTKM- Editor) 

Pihak *TTKM menerbitkan artikel bertajuk “Gejala Homoseksual & Pedofile pada Khalifah dan Cendekiawan Muslim Dahulu Kala” yang kelihatan cuba menimbulkan persepsi buruk terhadap sejarah umat Islam khususnya pada zaman Bani Umayyah dan Khilafah ‘Abbasiyyah.

(*TTKM meraikan demokrasi, kami menyiarkan pandangan semua pihak- Editor)

Kata penulisnya (Bintang Kartika) , “meski LGBT dilarang keras oleh sebahagian besar ulama, namun secara mencatat perbuatan menyimpang tersebut bahkan banyak dilakukan di lingkungan istana pada era kekhalifahan. Zaman khalifah begitu digembar-gemburkan sebagai zaman kegemilangan Islam dengan menyembunyikan narasi sejarah yang bernada negatif.”

Demi mempertahankan Islam dan mengelakkan kekeliruan orang ramai, saya tertarik untuk mengkritik artikel ini secara ringkas sekadar luang masa yang ada:

Pertama,

LGBT haram secara ijmak, bukan hanya “oleh sebahagian besar ulama” seperti yang disebutkan penulis. Tidak ada seorang pun orang yang layak dipanggil ulama menghalalkannya. Bahkan, perbuatan homoseksual lebih berat di sisi Islam berbanding zina.

Kedua,

sebahagian fakta yang disebutkan penulis mungkin boleh diterima walaupun memerlukan kajian untuk disahkan. Cuma, tindakan penulis yang seolah-olah mahu menggambarkan bahawa umat Islam pada zaman Bani Umayyah dan Bani ‘Abbas meredai kesumbangan yang berlaku adalah perbuatan yang jahat.

Sebagai contoh, beliau sekadar membawakan kata-kata Imam al-Dhahabi tentang khalifah Bani Umayyah, al-Walid b. Yazid, “al-Walid terkenal pemabuk dan “gay”,” padahal ayat tersebut selengkapnya berbunyi:

“Tidak sahih kekufuran atau kezindikan daripada al-Walid. Ya, beliau terkenal dengan minum arak dan perbuatan homoseksual. Lalu, mereka (umat Islam pada zamannya) menggulingkannya kerana itu.” (1)

Dan, al-Walid yang hanya sempat menjadi khalifah selama 15 bulan sahaja itu bukan digulingkan dengan cara dibuang negeri, bahkan beliau dibunuh. Ketika hendak dibunuh, pemberontak mengatakan kepadanya:

“Kami tidak benci kepadamu kerana masalah peribadi. Tetapi, kami benci kepadaku kerana engkau melakukan perkara yang diharamkan Allah, meminum arak, mengahwini (menyetubuhi?) umm walad bapamu, dan meremehkan agama Allah.” (2)

Ketiga,

penulis mengatakan Ibnu Hazm seorang “gay.” Dakwaan ini sangat berat, walaupun penulis mengatakan “katanya (Ibnu Hazm) tak pernah melakukan hubungan sejenis,” kerana Ibnu Hazm sendiri mengatakan:

“Perbuatan kaum Lut termasuk dosa besar lagi keji yang diharamkan seperti makan babi, bangkai, dan darah, seperti arak, zina, dan sekalian maksiat. Sesiapa menghalalkannya atau menghalalkan sesuatu yang telah kami sebutkan, maka ia kafir, halal darah dan hartanya.” (3)

Keempat,

penulis mendakwa “dalam bukunya (Ibnu Hazm), Tawq al-Hamamah, Ibnu Hazm bukan hanya bercerita tentang cinta sejenis yang tak kesampaian. Malah, di beberapa halaman buku ini seumpama novel roman yang cukup vulgar…”

Kenyataan yang mahu menguatkan dakwaan Ibnu Hazm seorang “gay” dan menyokong atau sekurang-kurang bersimpati dengan golongan homokseksual ini meragukan sekali. Hal ini demikian kerana tidak ditemui bahagian yang disebutkan dalam buku ini. Selain itu, kesahihan penisbahan kitab itu seperti yang wujud pada hari ini disangsikan oleh para pengkaji. Kemudian, yang sebenarnya tercatat dalam kitab itu ialah:

“Adapun perbuatan kaum Lut maka keji dan dahsyat. Firman Allah ‘adakah kamu melakukan perkara keji yang tidak didahului oleh sesiapa pun daripada seluruh alam?’ Allah telah melempari pelakunya dengan batu daripada tanah yang beracun. Malik rahimahullah berpendapat peliwat dan orang yang diliwat dihukum rejam sama ada berkahwin atau belum berkahwin…” (4)

Kelima,

selain Ibnu Hazm, penulis juga mengaitkan Abu Nuwas dengan jenayah homoseksual. Saya tidak sempat menyemak kesahihan dakwaan ini, meskipun cerita tentang sifat pemabuknya masyhur dan maklum. Namun, penulis berlaku zalim kerana tidak menceritakan bersama kisah taubat Abu Nuwas sehingga mengucapkan syair berikut (seperti versi yang dinyanyikan oleh Muhammad ‘Ubayd):

“Kepada-Mu wahai Tuhan sekalian makhluk, aku panjatkan harapanku, meskipun aku – wahai Tuhan empunya kurniaan dan kebaikan – seorang pendosa;
Maka, tatkala keras hatiku dan sempit jalan keluar, aku jadikan pengharapanku sebagai tangga menuju keampunan-Mu;
Engkau senantiasa – wahai empunya pengampunan – memberi rahmat dan keampunan sebagai kurniaan dan tanda kemuliaan;
Bukankah Engkau yang menjaga dan yang memberi hidayah kepadaku, dan Engkau masih memberi kurniaan dan nikmat kepadaku?”

Daripada penjelasan ini, ditegaskan bahawa kami tidak pernah cuba “menyembunyikan” sisi gelap yang terdapat dalam sejarah Islam, malah penulis pun mengutip fakta-fakta jahatnya daripada kitab-kitab ulama Islam. Cuma, apakah faedahnya “membuka pekung di dada sendiri?”

Lagipun, kami, begitu juga umat Islam sepanjang zaman, tidak pernah meredainya.

Rujukan:

(1) Tarikh al-Islam; j. 3, h. 548.
(2) Ibid.
(3) Al-Muhalla bi-al-Athar; j. 12, h. 388.
(4) Tawq al-Hamamah; h. 292.

(Artikel ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian TTKM- Editor) 



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik:

Exit mobile version