Hentikan sebar video seks serta-merta, kata Saifuddin

KUALA LUMPUR: PKR menggesa supaya penyebaran klip video seks mirip menteri kanan dari parti tersebut yang sedang ditularkan dan diperkatakan umum dihentikan serta-merta.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail,  berkata dalam satu kenyataan di laman facebooknya, parti itu tegas dan konsisten menolak sebarang bentuk permainan politik kotor terutama apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) dipilih oleh rakyat atas semangat agenda reformasi untuk membantu dan membangunkan negara.

Berikut merupakan kenyataan penuh beliau:

KEADILAN MENOLAK POLITIK KOTOR DAN KOMITED UNTUK TERUS MEMBANGUNKAN NEGARA DAN MEMBANTU RAKYAT

1. KEADILAN tegas dan konsisten menolak sebarang bentuk permainan politik kotor terutamanya apabila kerajaan baharu Pakatan Harapan telah dipilih oleh rakyat atas semangat agenda reformasi untuk membantu rakyat dan membangunkan negara.

2. KEADILAN menggesa agar penyebaran video yang sedang ditularkan dan diperkatakan oleh umum dihentikan serta-merta.

3. Gaya dan cara berpolitik seperti ini tidak membawa sebarang keuntungan kepada masyarakat dan negara.

4. KEADILAN sebagai salah satu parti komponen Pakatan Harapan akan terus fokus membantu kerajaan Persekutuan merangka dasar-dasar dan program untuk rakyat.

DATUK SERI SAIFUDDIN NASUTION BIN ISMAIL
SETIAUSAHA AGUNG
PARTI KEADILAN RAKYAT (KEADILAN)

12 JUN 2019

Difahamkan kenyataan itu dibuat susulan video pengakuan bersumpah yang dibuat oleh Haziq Aziz yang mendakwa individu dalam video seks tular itu adalah dirinya dan menteri kanan terbabit.

Pada jam 2:30 pagi tadi, laman facebook Haziq Aziq, menaikkan satu video berdurasi 35 saat bersumpah bahawa beliau adalah individu dalam video yang viral sejak semalam yang mengaitkannya dengan seorang menteri kanan.

Tambahnya lagi, beliau mendakwa video terbabit telah dirakam tanpa kebenaran beliau pada 11 Mei bersamaan 6 Ramadhan lepas semasa pilihanraya kecil Sandakan di dalam bilik menteri terbabit di hotel Fourpoint.

Setakat ini, video tersebut telah mendapat  lebih 4500 perkongsian.

Dalam video itu, Haziq turut menggesa SPRM untuk menyiasat menteri kanan terbabit atas tuduhan korupsi sambil mendakwa beliau merupakan  seorang individu yang tidak layak menjadi seorang pemimpin.

Berikut merupakan transkrip penuh pengakuan video beliau itu:

“Saya Haziq Aziz, dengan ini saya membuat pengakuan bersumpah bahawa sayalah individu bersama ***** ***  dalam video yang telah viral semalam. Video tersebut telah diambil tanpa kebenaran saya pada 11 Mei semasa pilihanraya kecil Sandakan di bilik Azmin di Hotel Fourpoint. Saya menggesa SPRM untuk menyiasat ***** atas tuduhan korupsi. Dia bukanlah individu yang layak untuk menjadi seorang pemimpin” – Haziq Aziz

Video : https://www.facebook.com/haziqaziz.my/videos/372500139910400/

 

Buletin TTKM mendapati Haziq Aziz, yang sebelum ini merupakan seorang aktivis pelajar dan aktif dalam PKR, telah dilantik sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Shamsul Iskandar, Timbalan Menteri Industri Utama pada Januari lalu.

 

Sejak semalam, video intim yang mengaitkan Haziq dengan menteri terbabit ditularkan di whatsapp bersama beberapa dokumen yang didakwa merupakan transaksi pemindahan wang berjuta ringgit.

Haziq bertindak menyahaktifkan akaun media sosial beliau di facebook, twitter dan instagram pagi semalam apabila video tersebut mula tular.

Walaubagaimanapun, kesemua akaun tersebut telah diaktifkan semula ketika video pengakuan bersumpah Haziq dinaikkan di laman facebooknya awal pagi tadi.

Cubaan Buletin TTKM menghubungi juga turut Haziq gagal apabila panggilan kami masuk ke pesanan peti suara.

Baru-baru ini, perdana menteri, Tun Dr Mahathir melantik Latheefa Beebi Koya sebagai ketua SPRM tanpa memberi maklum kabinet, malah pelantikan tersebut bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan.

Latheefa Beebi Koya juga merupakan sosok yang dilihat bersama kem menteri kanan terbabit di dalam parti PKR.

Setakat ini, menteri yang dikaitkan dalam video tersebut belum memberi sebarang respon terhadap dakwaan Haziq.

-Buletin TTKM.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.