(Video) Arul jelaskan isu pertahankan kandang lembu dari dirobohkan.

Oleh : Arul

Apabila saya terbaca komen-komen mengenai isu perobohan kandang Lembu di Bukit Tinggi, maka saya terbawa untuk memberikan sedikit maklumbalas mengenai kritikan-kritikan yang dilontarkan terhadap kami di PSM dan Penternak lembu Bukit Tinggi.

1. PSM hanya nak jadi hero untuk ambil kes sebegini ?

Jika PSM hendak jadi hero, isu yang paling senang untuk jadi hero adalah mengambil isu-isu perkauman dan agama kerana dengan senang dapat sokongan satu-satu kumpulan etnik/agama atau mengambil isu-isu popular seperti isu beg tangan Rosmah dan sebagainya.

Namun PSM mengambil dan mem ilih untuk mengambil kes-kes isu rakyat berpendapatan rendah, isu pengusiran paksa, isu gaji minima, isu perkhidmatan hospital dan isu pekerja Kontrak. Ini adalah isu-isu yang parti politik arus perdana tidak mahu sentuh atau jarang sentuh.

Kandang lembu dirobohkan dengan menggunakan jengkaut.
Polis menghalang aktivis dari menggangu operasi perobohan.

2. Penternak ini ceroboh duduk dalam tanah kerajaan , duduk free dan kemudian sekarang mahu lawan Kerajaan apabila diusir secara yang sah ?

Penternak di kawasan Ladang bukit Tinggi sebenarnya adalah bekas Pekerja Ladang bukit Tinggi. Mereka membuat pekerjaan ini kerana gaji sebagai pekerja ladang adalah rendah. Tun Abdul Razak – PM kedua pula telah mengalakkan penternakan dan pertanian di tanah ladang sebagai sebahagian daripada rancangan buku Hijau pada masa itu.

Namun pada tahun 1990an, tanah ladang dijual untuk sebab komersil untuk bina rumah mewah, bangunan kedai, lebuhraya dan kawasan Perindustrian. Maka tanah tidak dijual kepada golongan petani atau pesawah tetapi kepada Kapitalis kaya dan bukan lagi menjadi tanah pertanian. Maka siapa ceroboh tanah siapa?

Maka disebabkan itu, Malaysia menghadapi krisis keselamatan makanan (food security) dimana 80% sayuran , buah-buahan dan tenusu diimpot. PSM berpendirian kita kena mempertahankan tanah untuk pertanian untuk menjamin pengeluaran makanan tempatan. Bayangkanlah jika ada perang dunia atau kekurangan makanan di dunia, dimanakah kita nak beli makanan?

Solidariti desak lima tahanan dibebaskan.

3. Lembu-lembu ini ganggu trafik, meyakitkan mata dll

Sebenarnya lembu-lembu ada disana lama sebelum ada rumah mewah dan sebagainya. Sekarang penghuni baru nak halau orang lama. Samalah seperti kita teroka hutan dan kemudian mengadu ada banyak monyet ceroboh kawasan perumahan. Sepatutnya sebelum ada projek mewah dan sebagainya, isu ini harus diselesaikan.

Lima tahanan dibebaskan malam tadi.

4. Tauke lembu ini orang kaya, ada 150 lembu, mengapa dia tidak mahu beli tanah?

Ini hanyalah persepsi. Yang kenal Tuan Lembu ini , Susu ravi – dia seorang pengusaha yang rajin. Setiap hari perah susu dan kemudian jual. Dia bukan pakai pekerja asing untuk jaga lembu-lembunya tetapi ahli keluarga dia sendiri. Hari ini beliau ditahan dengan dua orang adik beradiknya. Beliau jika mendapat pendapatan tinggi pun, kerana usahanya dan bukan kerana berjudi di Kasino atau beli saham di pasaran saham. Beliau juga buta satu mata kerana satu kemalangan tetapi terus bekerja untuk menyara keluarganya.

Dulu Tuan Lembu merupakan bekas pekerja ladang Bukit Tinggi. Beliau telah menjalankan aktiviti penternakan lebih 2 generasi. Apabila ladang Bukit Tinggi dibangunkan, maka kandang lembu beliau di ladang telah dirobohkan dan tempat sekarang – Bandar Botanik, Sungai Rezab, Parcel B adalah tempat alternatif yang ditawarkan oleh oleh syarikat Gamuda dengan janji beliau akan diberikan dokumen kelulusan bagi tanah itu.

Syarikat Gamuda yang telah membina struktur asas kandang ini. Ini berlaku pada November 2003. Syarikat ini membeli tanah dari Tuan ladang sebelum ini. Selepas beberapa kali, beliau menghubungi Syarikat Gamuda / Harum Intisari, beliau mendapati pengurus Gamuda yang memberi janji mulut tidak bekerja lagi di Gamuda dan beliau juga tidak mempunyai dokumentasi bagi urusan ini. Selepas itu, beliau terus menjalankan aktiviti penternakan sehingga menerima surat dari Pejabat Tanah Klang yang menyatakan tanah ini adalah “Reserved land” Kerajaan dan saya harus menggosongkan tanah ini.

Maka Gamuda telah serah tanah yang dijanjikan kepadanya kepada kerajaan. Justreru apabila kita bercakap seolah-olah beliau ambil kesempatan adalah tidak betul

KESIMPULAN

Akhirkata, saya pergi ke sebuah restoran India hari ini. Saya minta kopi bru dengan susu lembu. Pelayan restoran beritahu saya –

“Hari ini tiada susu lembu. kandang LEMBU kena roboh.”

Mungkin satu hari nanti, kita akan faham ini semua. -TTKM-

(Arul merupakan AJK Pusat Parti Sosialis Malaysia. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian TTKM- Editor)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.