(VIDEO) 2000 hadir himpunan Keadilan Untuk Adib desak Waythamoorthy letak jawatan.

Klang, 25 Dis: 2000 orang berhimpun di Dataran Seni, di pusat bandar Klang hari ini menuntut supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy dipecat dalam tempoh 40 hari.

Himpunan anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) itu juga turut menuntut keadilan terhadap kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang sebelum itu didakwa dibelasah oleh perusuh di hadapan  Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.

Kumpulan yang mengenakan pakaian hitam itu berarak ke Dataran Seni dari Masjid Bandar Diraja, Klang selepas solat Asar sambil membawa sepanduk “keadilan untukmu Adib” di sampai melontarkan selawat kepada Nabi Muhammad dan diselang-seli dengan laungan “Allahuakbar”, “Hidup Melayu”, dan “Hidup Islam”.

Sebelum berarak, kumpulan berkenaan turut mengadakan solat jenazah ghaib dan tahlil ringkas buat Muhammad Adib.

Wartawan TTKM turut membuat liputan video secara langsung acara tersebut:

Turut kelihatan hadir menyertai himpunan aman itu adalah pelakon Ellie Suriaty Omar dan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah.

Presiden Geras Abu Bakar Mohamed dalam ucapannya mendesak Waytha Moorthy meletak jawatan kerana mendakwa menteri berkaitan perpaduan itu menjadi punca Malaysia menjadi huru-hara.

“Mereka ini kita dah banyak bertolak ansur tapi rupa-rupanya kita ditolak beransur-ansur. Alhamdulillah, sekarang ini saya ingin beritahu kita desak petualangnya, ini Waytha Moorthy, letak jawatan,” 

“Layakkah dia jadi menteri perpaduan? Tidak! Kita ada kontrak sosial, saya harap kita belajar sejarah, baru kita boleh bangkit,” – Abu Bakar. 

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Zambri Mohd Isa pula menuntut agar suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan segera bagi memastikan siasatan yang lebih telus tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.

Himpunan berkenaan mendapat sokongan beberapa NGO lain antaranya Gerakan Srikandi Malaysia, Angkatan Laksamana Bukit Jati Klang, Badan Amal Tarbiyah Sejagat, Pertubuhan Ikatan Muafakat Serumpun Malaysia dan Kebajikan Sejagat Malaysia.

Perhimpunan berlangsung tanpa sebarang kekecohan dan peserta mula beredar meninggalkan lokasi pada kira-kira 6.30 petang.

Pada perkembangan berkaitan, peguam dan aktivis Siti Zabedah Kassim atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim semalam memimpin sekumpulan 50 orang untuk menyerahkan suatu memorandum menyokong Menteri Perpaduan P Waythamoorthy di Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya.

Penyokong Wayhamoorthy berhimpun di hadapan JPM bagi menyerahkan memorandum menyokong menteri perpaduan tersebut. Gambar dari FB Siti Kasim

Siti mendakwa sebanyak 211 NGO telah menandatangani memorandum yang ditujukan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad itu bagi menunjukkan dukungan mereka terhadap menteri di JPM itu. -TTKM-

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.