(Video) “Saya mohon maaf”- Dr Zakir Naik

PETALING JAYA: Pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik hari ini meminta maaf atas sebarang salah faham berhubung kenyataannya, sambil menambah ia dipetik di luar konteks.

Dalam satu rakaman video, Zakir yang memberi keterangan selama 10 jam di ibu pejabat polis persekutuan, berkata beliau sentiasa menjadi orang yang cintakan keamanan.

“Ia menyedihkan saya bahawa seluruh episod ini menyebabkan ramai orang bukan Islam berfikir saya seorang yang rasis.

“Ia juga membimbangkan saya kerana pihak yang terluka tidak mendengar ucapan saya tetapi berdasarkan tanggapan mereka melalui petikan luar konteks. Itu adalah penyebab kebimbangan kepada saya kerana ia memberi imej bahaya kepada Islam dan menyebabkan orang ramai menjauhinya,”

Beliau disoal siasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menghina dan menggugat ketenteraman awam, selepas polis menerima 115 laporan terhadapnya.

Pada 8 Ogos lepas di Kelantan, Dr Zakir Naik dilaporkan berkata bahawa orang Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga dilaporkan berkata bahawa masyarakat Cina adalah “tetamu lama” di Malaysia dan harus balik sebelum meminta “tetamu baru” seperti beliau balik.

Walau bagaimanapun Dr Zakir berkata media telah melaporkan hal tersebut di luar konteks.

Mahathir semalam berkata bahawa pendakwah terbabit telah melibatkan diri dalam  “politik perkauman” dan sebagai penduduk tetap di negara ini, beliau tidak sepatutnya berbuat demikian.

Tambah Zakir Naik lagi, walaupun beliau memberi keterangan kepada polis, beliau merasa bersalah terhadap semua pihak yang terluka kerana “salah faham ini”.

“Saya tidak mahu sesiapa daripada anda melontarkan perasaan tidak baik terhadap saya,” katanya.

“Ia bukan niat saya untuk mengecewakan mana-mana individu atau komuniti. Ia bertentangan dengan prinsip asas Islam, dan saya ingin memohon maaf atas salah faham ini.”

Beliau juga menggesa orang ramai, terutama orang bukan Islam mendengar ucapannya secara keseluruhan.

Video penuh beliau di Kelantan :

Zakir menafikan beliau adalah rasis sambil menambah beliau adalah mangsa kempen cerca oleh penyokong Perdana Menteri India Narendra Modi.

Pendakwah yang mempunyai status pemastautin tetap di Malaysia pada 2015, dikehendaki di India sejak 2016 berhubung siasatan pengubahan wang haram dan menghasut ekstremisme melalui ucapan kebencian.

Bagaimanapun, beliau enggan pulang ke India, dengan mengatakan beliau tidak akan diberikan perbicaraan yang adil di bawah kerajaan BJP. – Buletin TTKM-

 

 

 

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.