Pendakwa raya tarik balik rayuan, Rafizi kekal bebas.

Kuala Lumpur, 13 Dis: Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli kekal bebas daripada pertuduhan mendedahkan butiran sulit perbankan berkaitan dengan Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) selepas pendakwa raya menarik balik rayuan terhadap pembebasannya.

Bernama memetik Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar memaklumkan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai hakim Yaacob Md Sam bahawa pihak pendakwaan juga menarik balik rayuan terhadap pembebasan bekas kerani bank, Johari Mohamad daripada pertuduhan bersubahat dengan Mohd Rafizi.

Beliau berkata pihak pendakwaan memfailkan notis penarikan balik rayuan pada 9 Disember lepas.

“Oleh itu pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua rayuan,” katanya dan mahkamah membatalkan rayuan tersebut.

“Perintah lepas dan bebas yang diputuskan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata Yaacob yang bersidang bersama-sama hakim P Ravinthran dan Abu Bakar Jais.

Peguam Ahmad Nizam Hamid yang mewakili Rafizi mengucapkan terima kasih kepada pihak pendakwaan.

Rafizi, 43, dan Johari, 49, yang diwakili peguam Shahid Adli Kamarudin hadir di mahkamah.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 November lepas melepaskan dan membebaskan Rafizi dan Johari daripada pertuduhan mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia), selepas membenarkan rayuan mereka untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 30 bulan dikenakan terhadap mereka.

Pada 7 Februari 2018, Mahkamah Sesyen Shah Alam mendapati Rafizi bersalah atas pertuduhan mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik NFC, National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan akaun bank Pengerusi NFC Dr Mohamad Salleh Ismail kepada perunding media, Yusof Abdul Alim dan pemberita akhbar The Star, Erle Martin Carvalho.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012.

Rafizi dituduh mengikut Seksyen 97(1) Bafia yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Turut disabitkan kesalahan adalah Johari yang didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) Bafia, kerana bersubahat dengan Mohd Rafizi pada tarikh dan alamat yang sama.

Minggu lalu Peguam Negara Tommy Thomas berkata beliau tidak sedar berkenaan langkah memfailkan rayuan terhadap pembebasan Rafizi dan menyifatkannya sebagai satu pengingkaran oleh pegawai yang terlibat.

Sebelum itu, Rafizi memerli Peguam Negara apabila beliau mendapat notis bahawa pihak jabatan peguam negara memfailkan rayuan diatas pembebasan beliau.

“Peguam negara telah memfailkan rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap keputusan kes BAFIA dan NFC. Saya berharap beliau berusaha juga untuk bawa ahli keluarga bekas menteri ke muka pengadilan yang mendapat laba dari RM250 juta. Tiada dari mereka didakwa di mahkamah setakat ini” – Rafizi Ramli.

 

Untuk rekod, janji ke 15 Pakatan Harapan adalah untuk  Memisahkan Pejabat Pendakwa Raya Negara Daripada Pejabat Peguam Negara:

Peguam negara akan dilantik daripada kalangan anggota parlimen yang berkelayakan, dan beliau akan menjadi seorang menteri yang boleh meneruskan peranan sebagai penasihat undang-undang bagi kerajaan.

Jawatan Pendakwa Raya pula akan dipegang oleh individu lain yang bebas dan bertindak tanpa mengira kepentingan politik kepartian.

Beliau akan mengetuai Pejabat Pendakwa Raya Negara yang mempunyai autonomi dalam melaksanakan kuasa-kuasa pendakwaan, iaitu sama seperti yang dilakukan oleh negara-negara lain yang demokrasinya lebih matang.

Pelantikan Tommy yang bukan seorang anggota parlimen sehingga membolehkan dia dilantik menjadi menteri dan ini bertentangan dengan janji PH sendiri.

Keputusan ini dilihat sesetengah pihak membuktikan tiada pemisahan kuasa antara jabatan peguam negara dan eksekutif. – Buletin TTKM-

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.