Isa Samad lepas tuduhan CBT, diarah bela diri 9 tuduhan rasuah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad untuk membela diri atas sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian Hotel Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Bagaimanapun beliau dibebaskan bagi satu pertuduhan pecah amanah jenayah berkaitan pembelian itu, lapor Malaysiakini.

Hakim Mahkamah Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi kes tersebut.

“Saya berpuas hati dengan bukti yang boleh dipercayai dan mencukupi termasuk antaranya pengeluaran wang tunai oleh ejen yang dilantik Merdeka Palace dan penyampaian wang tunai sebanyak sembilan kali,”  – Hakim Mahkamah,  Mohd Nazlan Mohd Ghazali 

Jika didapati bersalah, Isa berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan selain denda sehingga lima kali ganda daripada nilai suapan.

Pada 14 Jan lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas 15 hari perbicaraan dengan 22 saksi dipanggil memberi keterangan.

Pada 14 Dis 2018, Isa, 71, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta, bagi meluluskan pembelian sebuah hotel, Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Beliau didakwa melakukan perbuatan pecah amanah di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Semua kesalahan menerima rasuah pula didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 15 Dis 2015. -Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.