“Yang mana pegang sepanduk, ambil! Kita kompaun”

Tawau, 25 April: Video demonstrasi aman 7 aktivis yang memprotes Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Muhibbah, Tawau semalam tular di media sosial dengan setakat ini mendapat lebih 634 000 tontonan dan 9000 perkongsian.

Video tersebut yang berdurasi 9 minit 34 saat disiarkan secara langsung di laman facebook Tawau Kini.

Kekecohan dilihat bermula apabila seorang anggota polis memberikan arahan kepada anggotanya untuk menahan dan mengkompaun sesiapa yang memegang sepanduk.

“Dengar ya anggota, yang mana pegang sepanduk, ambil! Kita kompaun!”

Ketika aktivis lain sedang ditahan anggota polis, Mukmin Nantang membantah tindakan tersebut.

“Tenang! Tenang! Saya yang bertanggungjawab di sini!”- Mukmin Nantang

Walaubagaimanapun, beliau kemudian dikerumuni lebih kurang 5 anggota polis dan ditahan sejurus selepas itu.

Terdahulu, Mukmin berkata rakyat di Kampung Muhibbah dalam keadaan sengsara akibat PKP kerana ekonomi mereka tidak terjamin.

“Di dalam itu sengsara, ada anak bini. Kami di sini tak buat apa-apa, ini risiko kami. Kami akan ditangkap, kami akan dikompaun. Tapi kami sanggup lakukannya kerana kawan kami sengsara. Polis sekat mereka di dalam. Mereka yang panggil kami ke sini.” – Mukmin Nantang.

Tambahnya lagi, mereka dikurung berbulan-bulan menyukarkan mereka yang bekerja harian untuk mencari pendapatan.

“Kita boleh terima covid ini. Kita boleh dikurung. Tetapi sepatutnya kerajaan memberi polisi yang membangun ekonomi rakyat. Kalau begini, bagaimana kawan-kawan kita di sana ” – Mukmin Nantang.

Buletin TTKM difahamkan tujuh aktivis itu kemungkinan berdepan dengan tiga pertuduhan iaitu, Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman, Seksyen 188 Kanun Keseksaan mengenai menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 25 Ordinan Darurat yang memperuntukkan kompaun denda sebanyak RM10,000.

Terkini, mahkamah membenarkan permohonan polis untuk mereman mereka selama 2 hari dan mereka dijadualkan akan dibebaskan esok.

Jumaat lalu, kerajaan melanjutkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Kampung Muhibbah Raya di Tawau, Sabah untuk 14 hari lagi, dari 25 April ke 8 Mei.

PKPD di kampung tersebut bermula sebelum ini pada 11 April sehingga 24 april 2021. -Buletin TTKM-


Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.