Populasi harimau bertambah dengan pembalakan, mudah ia kejar kancil- Jabatan Perhutanan K’tan

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan Abdul Khalim Abu Samah berkata aktiviti pembalakan sebenarnya “bagus untuk populasi harimau”.

Menurutnya, kesan pembalakan akan menyebabkan tumbuhnya anak pokok baru yang menggalakkan kehadiran spesis haiwan yang menjadi makanan kepada harimau seperti kancil.

“Berdasarkan fakta kajian oleh pakar, kawasan-kawasan selepas pembalakan sebenarnya bagus untuk populasi harimau.

“Populasi harimau akan lebih tinggi, apabila berlaku pembalakan kawasan itu, anak pokok akan tumbuh. Kancil akan datang makan anak pokok. Mudahlah, sebab kancil dia tak tinggi dan harimau mudahlah mengejar kancil tersebut sebagai makanannya.

“Tetapi kalau dalam hutan simpan sebenarnya , kalau harimau nak kejar kancil, senang (kancil) berlari. Susah dia nak tangkap”

Beliau kemudian menekankan bahawa populasi harimau tidak terjejas akibat kesan pembalakan, malah populasi haiwan itu bertambah kerana mudah mendapatkan makanan.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika operasi bersepadu pencerobohan Hutan Simpan Relai, di Gua Musang, hari ini .

Ditanya wartawan adakah punca harimau keluar dari habitatnya baru-baru ini adalah disebabkan pembalakan haram secara berleluasa, beliau menafikan hal itu.

“Sebenarnya pembalakan haram tidak berlaku di Kelantan. Istilah pembalakan haram itu perlu difahami maksudnya.

Hutan kita ini terbahagi kepada dua, hutan pengeluaran dan hutan perlindungan. Yang kita keluarkan balak ini adalah hutan pengeluaran “

“Kita di Kelantan sentiasa patuh mematuhi Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang ditentukan oleh Majlis Tanah Negara (MTN). Kita tidak melebihi catuan tebangan yang dibenarkan membabitkan keluasan 3,900 hektar setahun seperti dilaporkan dalam Rancangan Malaysia ke-12.

“Malah, pembalakan hanya dilakukan di hutan simpan pengeluaran, bukannya hutan simpan perlindungan,” tambah Abdul Khalim.

Tambahnya lagi, dari segi teknikal, beliau adalah profesional sebagai pengurus hutan dan kenyataan beliau itu adalah berdasarkan fakta dan kajian pakar. -Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.