Legasi TSKI: Apabila lawan menjadi kawan

Mukadimah

Saya merakamkan ucapan Takziah kepada ahli keluarga dan kenalan Mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim (TSKI) yang meninggal dunia pada 31hb. Julai 2022. Bagi saya, Tan Sri Khalid Ibrahim adalah MB terbaik Pakatan Rakyat. Beliau telah membawa pelbagai idea baru yang sebelum ini tidak dicuba. Antara idea-idea aslinya adalah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dengan pelbagai program kebajikan untuk anak Selangor, warga emas dan ibu tunggal.

Beliau tidak disukai oleh sesetengah pihak kerana tidak mahu menggunakan dana negeri untuk kerja-kerja politik. Sebaik sahaja beliau menjadi MB, Beliau menasihatkan untuk orang membuat pilihan samada mereka nak jadi Ahli perniagaan atau nak jadi Ahli Politik. Jangan campuradukkan kedua-duanya. Pandangan ini mungkin disebabkan beliau sudahpun menjadi jutawan sebelum menjadi Ahli Politik. Untuk ramai ahli politik lain pula, mereka menjadi jutawan setelah menjadi Ahli Politik.

Namun pengiktirafan positif dan pujian saya terhadap Tan Sri tidak datang begitu sahaja, ia melalui satu proses peralihan zaman yang lama dimana saya dengan sejujurnya ingin mencatatkan pengalaman saya bertembung dan berinteraksi dengan insan bernama Tan Sri Khalid Ibrahim dan bagaimana Khalid lawan saya pada awalnya akhirnya menjadi kawan saya

Bersemuka

Debat pertama saya dengan Khalid berlaku di TV3 dalam rencana Ingeris bertajuk “Face to Face”. Khalid Ibrahim pada masa itu CEO Guthrie mewakili kepentingan kaum Kapitalis Pemilik ladang manakala saya pula mewakili kepentingan kaum pekerja estet pekerja ladang. Anchor untuk program ini adalah Almarhum Mahadzir Lokman. Dalam debat itu, TS Khalid begitu angkuh dengan pencapaian syarikat perladangan manakala saya mencetuskan kontradiksi mengenai kaum pekerja yang dibayar gaji yang rendah dan hidup dalam serba kekurangan. Namun demikian, saya melihat TV3 lebih banyak memberi ruang dan muka kepada Tan Sri dimana setiap kali saya cuba menyerang Tan Sri mengenai kegagalan syarikat perladangan, Mahadzir Lokman dengan penuh kelincahan akan hentikan program untuk laluan iklan. Saya pernah dalam rencana itu berkata, Tan Sri kena turun dari helikopter untuk melihat kesengsaraan rakyat.

Pengusiran Pekerja Ladang Bukit Jelutong

Pada 26 Jun 2002, saya dengan mata sendiri melihat kerakusan pihak Guthrie merobohkan rumah pekerja-pekerja ladang di ladang Bukit Jelutong. Dalam insiden tersebut, pekerja ladang diberikan notis kurang 24 jam. Operasi haram ini dijalankan dengan kerjasama MBSA dan Guthrie. Walaupun ia adalah tanah swasta, tetapi gergasi Ladang – Guthrie dapat menggunakan khidmat kerajaan tempatan untuk melakukan perobohan rumah pekerja-pekerja ladang. Guthrie juga biasa mengadakan majlis makan-makan dengan kakitangan-kakitangan kerajaan. Inilah kerjasama intim antara Kerajaan Tempatan dan pihak swasta untuk agenda mengusir rakyat miskin di Negeri Selangor.

Pada hari rumah pekerja-pekerja ini dirobohkan, saya melihat TS Khalid berada di lokasi kejadian bersama dengan MBSA, Polis dan lain-lain. Begitu kebal pengaruh dan kuasa mereka. Rumah tiga generasi pekerja ladang diroboh begitu sahaja tanpa melalui proses perundangan yang sahih.

Kami juga hairan melihat orang berpangkat begitu tinggi akan turun untuk memastikan operasi perobohan dan pengusiran berlaku dengan berjayanya. Beliau juga datang kesana bukan dengan kereta tetapi helikopter.

Namun, kami tidak berputus asa. Kami membina balik rumah yang roboh dan memulakan satu perlawanan balik yang cukup kuat. Pada masa itu, Tan Sri Musa Hitam baru menjadi Pengerusi Guthie dimana beliau baru sahaja bersara sebagai pengerusi SUHAKAM manakala Tan Sri Khalid Ibrahim adalah CEO Guthrie. Kami menyasarkan tekanan kami terhadap Tan Sri Musa Hitam yang dilihat orang yang lebih senang didampingi berbanding dengan TSKI. Kami membuat beberapa demonstrasi di hadapan pejabat peribadi Tan Sri Musa Hitam di bangunan Citibank , Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Kami melihat Musa Hitam adalah individu yang lebih senang untuk berunding berbanding dengan TSKI yang kami anggap sebagai kepala keras dan langsung tidak berhati perut.

Akhirnya niat kami mendapat perhatian. Satu mesyuarat telah dipanggil di pejabat Guthrie yang dipengerusikan oleh Musa Hitam. Turut hadir adalah TSKI. Mesyuarat diadakan pada 7 April 2003. Dalam dialog tersebut, Musa sindir bahawa Guthrie mempunyai tempat yang begitu luas dan para pekerja boleh berdemonstrasi secara bebas di sini memandangkan tempatnya luas berbanding dengan pejabatnya yang berada di tempat yang sibuk di Jalan Ampang. Namun ternyata, tunjuk perasaan pekerja di hadapan pejabatnya di Jalan Ampang sememangnya telah meninggalkan satu impak yang membuah kejayaan sehingga mesyuarat diadakan pada hari tersebut.

Mesyuarat tersebut dikoordinasi dengan bagus sekali oleh Musa Hitam dimana dia mendengar segala yang dicerita oleh wakil penduduk malah menegur orangnya sendiri termasuk TSKI. Pada masa itu Khalid bergelar Datuk dan sebagai CEO Guthrie, dia memang sangat marah apabila kami menuduh Guthrie sebagai maha pembuli. TSKI mula berkata bahawa pemegang saham Guthrie adalah petani-petani dan nelayan-nelayan miskin. Oleh itu bila kita buat tuntutan, sememangnya kita rompak dari orang miskin. Komen Khalid ini telah membuat kami semua ketawa besar. Kita semua tahu siapa Guthrie dan kepentingan siapa yang mereka wakili. Inilah perwatakan TSKI yang saya kenali pada awal pertembungan ini.

Mesyuarat yang dipengerusi ini berakhir dengan Guthrie akhirnya bersetuju membina rumah alternatif untuk pekerja ladang di kawasan berhampiran. Sepanjang mesyuarat TSKI langsung tidak setuju keuntungan Syarikat Guthrie diguna untuk membina perumahan untuk pekerja ladang.

Kampung Berembang

Kampung Berembang mungkin titik peralihan hubungan TSKI dari lawan menjadi kawan. Peralihan posisi ini anehnya berlaku kerana satu lagi operasi perobohan rumah rakyat miskin di Kampung Berembang.

Antara tahun 2006 dan 2007, satu pertikaian tanah dan pertempuran besar berlaku di Kampung Berembang Ampang. Kampung Berembang menarik perhatian umum apabila pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan bantuan polis dan Rela melancarkan operasi merobohkan rumah di kampung itu pada 17 November 2006 dan kerja-kerja perobohan itu diteruskan juga pada 20 dan 30 November tahun yang sama. Ramai aktivis yang mempertahankan rumah-rumah dan surau di kampung Berembang turut ditahan termasuk saya sendiri.

Pemaju dalam projek ini mempunyai hubungan kuat dengan UMNO dan Menteri besar Selangor pada masa itu Khir Toyo mengarahkan rumah-rumah di kampung ini diroboh walaupun Perdana Menteri pada masa itu Abdullah Ahmad Badawi merayu untuk perobohan ditangguhkan. Ini adalah penderhakaan besar UMNO terhadap rakyat melayu miskin.

Setelah kami ditahan polis, kami dimaklumkan bahawa bendahari PKR pada masa itu Tan Sri Khalid Ibrahim akan menanggung semua kos jamin. Beliau juga menghulurkan bantuan kepada rakyat Peneroka disana dengan bantuan khemah dan sebagainya. Maka inilah titik perubahan. TSKI yang biasa berada bersama pihak yang merobohkan rumah kini pula berdiri bersama kami – pihak yang menjadi mangsa perobohan rumah.

Peneroka Berembang dapat rumah percuma semasa TSKI jadi MB Selangor

Satu daripada kejayaan besar perjuangan Kampung Berembang adalah apabila Peneroka disana berjaya mendapatkan rumah percma. Mereka memiliki pangsapuri dikawasan yang nilai tanah yang begitu tinggi pada masa itu. Setiap pangsupuri kos rendah mereka boleh dijual dengan senangnya untuk lebih 350k pada masa itu kerana nilai tanahnya yang tinggi. Namun pada awalnya, Pemaju begitu perlahan untuk membina perumahan alternatif ini. Penduduk pula masih menetap di khemah dan rumah usang yang dibina balik setelah diroboh. Maka wujud satu perasaan konspirasi bahawa tiada kewibawaan politik untuk membina rumah untuk Peneroka Kampung Berembang.

Kini pucuk kepimpnan Kerajaan Negeri berada dengan Pakatan rakyat dimana MBnya adalah TSKI. TSKI pula membantah perobohan rumah di Kampung Berembang pada masa itu. Kelewatan pembinaan rumah ini mendorong kami membuat satu aksi. Penduduk Berembang berasa amat tidak puas hati dan kecewa dengan kelewatan itu. Maka satu mesyuarat telah diadakan di bangunan SUK Selangor untuk menangani isu ini dimana turut hadir adalah Pemaju Projek, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Exco Kerajaan Negeri Tuan Iskandar Abdul Samad, AJK dari Kampung Berembang dan saya sendiri

Kami menunggu agak lama di ruang tamu untuk mesyuarat penting. Ada banyak reaksi orang keluar masuk bilik mesyuarat. Suasana tegang sepanjang masa. Ada jug aura-ura bahawa TSKI MB sendiri akan Pengerusikan mesyuarat ini.

Akhinya isu Kampung Berembang dipanggil untuk dibincang dan kami dijemput masuk bilik yang agak kecil dan sempit. Dalam ruang kecil itu, saya ternampak MB Selangor. Tan Sri Khalid memakai baju putih dimana lengan panjangnya dilipat sehingga siku. Beliau kelihatan amat letih dengan peluh menyelebungi mukanya. Beliau juga membaca dokumen-dokumen yang ada dihadapannya.

Pada masa itu, saya mahu bercakap dan mula bersuara tetapi dia beri isyarat untuk saya berdiam dan berkata dia nak cakap dulu. Dengan begitu tegas dia bertanya soalan bertubi-tubi kepada Pemaju – berapa orang pekerja yang kamu ada? apa alatan yang kamu ada? Projek sekarang diperingkat mana dan bila projek ini akan siap? Semua pakar dan Jurutera Majlis diam sahaja. Pemaju pula betungkus lumus memberi jawapan tetapi akhirnya MB TSKI berkata, dengan apa yang kamu cakap, saya tahu projek ini tidak boleh siap dalam masa yang kamu katakan. Don’t lie to me. I know this job. Pemaju terkejut dan akhirnya mengalah. TSKI mengingatkan Pemaju bahawa beliau sendirinya juga dulunya pemaju dan tahu selok-belok isu yang dibincang. Pemaju akur dan TSKI memberikan dia lebih masa untuk siapkan projek dan memberikan amaran bahawa perumahan kos rendah kena siap dulu dan semua kerja lain kena hentikan sehingga perumahan ini selesai. MB minta dia fokus dan juga memberikan amaran tegas semua projek lain pemaju ini harus ditangguhkan jika dia tidak mahu serius dalam pembinaan pangsapuri kos rendah ini.

Selepas MB tanya semua soalan yang relevan, dia tanya pula kepada Penjawat awam…adakah kamu ada apa-apa komen atau persoalan? Mereka semua berdiam diri sahaja dan MB berkata .., “so semua buat bodoh sahaja ye?”

Pada ketika itu, Pengerusi Kampung Berembang Sdr Azizan bencelah dan berkata, jika Projek ini lambat lagi, kami nak berkhemah di tapak projek. Pada masa itu, MB berkata, jangan risau, jika projek itu lambat lagi, saya akan minta Exco Iskandar duduk bersama anda dalam khemah itu.

Akhirnya TSKI pandang dan tanya saya pulak. “So Arul do you have anything to say?”

I was speechless. Saya juga bisu sahaja dan kagum kerana saya ingatkan Kerajaan Negeri akan berlembut dengan pemaju tetapi gayanya tidak. Beliau tanya semua soalan dan tegas kendalikan mesyuarat itu secara efisyen dan berkesan.

Pelancaran Perumahan Berembang Indah

Akhirnya pada Februari 2009, 68 keluarga Kampung Berembang dapat rumah sendiri di Berembang Indah. Selepas bertahun-tahun hidup sebagai setinggan dan melalui ranjau suka duka kehidupan, akhirnya 68 keluarga Kampung Berembang Ampang akan memiliki rumah sendiri.Saya ada pergi ke banyak projek perasmian. Biasanya upacara penuh mewah dan hanya ada ucapan-ucapan sahaja. Namun perasmian kali ini berbeza sedikit kerana semasa ucapan perasmian TSKI berhenti dan mula bertanya beberapa soalan lagi kepada Pemaju kerana dia dengar sedikit keluhan Peneroka disana. Maka ucapan perasmian bertukar pula menjadi dialog. Dia kemudian terus bertanya kepada Peneroka apa aduan mereka dan terus meminta Pemaju dan pegawai Majlis menjawabnya. MB juga berkata , jangan ingat saya akan saja datang dan rasmikan projek. Isu masalah rakyat kena diselesaikan dalulu.

Maka inilah pengalaman saya melihat TSKI seorang MB yang berbeza cara DNA nya berbanding dengan MB-MB sebelumnya.

Noralizan Pengerusi Kampung Berembang berkata inilah MB sebenarnya kerana dia dengar pandangan kami dari mula sehingga akhir dan hari ini kami duduk di rumah sendiri kami

JERIT – Rakyat Pengayuh Perubahan

Pasca PRU 2008, BN kehilangan 5 negeri dan 2/3 majoriti di Parlimen. Pada masa itu Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) hendak melancarkan kempen membawa isu rakyat dalam arena politik perdana Negara. Ketika itu, ada cadangan meminta sokongan dari kerajaan Negeri Selangor. Kempen Basikal Jerit – Rakyat Pengayuh Perubahan adalah satu inisiatif JERIT yang akan berbasikal ke seluruh negara melalui pekan-pekan dan bandar-bandar utama dengan membawa mesej kesedaran tentang isu-isu semasa yang memberi tekanan kepada kehidupan rakyat. Antaranya adalah isu kenaikan harga minyak, penggunaan akta zalim seperti ISA ke atas rakyat, isu global seperti alam sekitar dan krisis makanan yang dihadapi oleh kebanyakan negara di dunia.

Untuk mendapat sokongan kepada inisiatif ini, kami pergi untuk berjumpa dengan TSKI di bangunan SUK. Pada masa itu, di tengah satu sidang DUN, ada pelbagai delegasi menunggu untuk berjumpa dengan TSKI dan diantara kumpulan itu adalah kami dimana kami kesemuanya berpakaian baju tshirt dan bersahaja manakala semua team lain dengan pakaian tali leher dan sut penuh. Pada ketika itu juga Ronnie Liu membawa satu delegasi dari luar Negara tetapi apabila Khalid melihat team kami, dia terus meninggalkan kumpulan-kumpulan lain dan terus datang dan duduk bersama dan berbincang dengan kami. Dia berkata orang lain boleh tunggu kerana kebanyakan mereka hanya mahukan duit dan kontrak dari beliau tetapi kami pula dia tahu dari dulu memang memperjuangkan isu rakyat tertindas, maka dia amat berminat mendengar cadangan kami dan bersetuju untuk merasmikan kempen Basikal JERIT di Selangor.

Maka pada 29 November 2008 di perkarangan Stadium Melawati, Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim telah menyatakan sokongan penuh dan melancarkan kempen basikal Jerit “Rakyat pengayuh perubahan’

Dalam ucapan pelancaran beliau. Khalid telah mengatakan bahwa beliau begitu berbangga dalam melancarkan program Kempen Basikal ini. Beliau juga telah menyatakan bahawa adalah perlu gerakan seperti Jerit untuk mengingatkan tanggungjawab Kerajaan Pakatan Rakyat. Tambah Khalid Ibrahim, tuntutan Jerit adalah selaras dengan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk merakyatkan ekonomi negeri Selangor dan memberi sokongan penuh kepada kempen Jerit. Setelah ucapan pelancaran, beliau telah memotong belon yang dan seterusnya melancarkan Kempen Basikal Jerit.

Setelah itu slogan “Hidup Rakyat! Hidup Perjuangan!” diluangkan

Membantu keluarga mangsa ISA

Satu lagi persepsi adalah TSKI sering dikatakan kedekut dalam perbelanjaan tetapi dalam isu membela keluarga mangsa tahanan ISA, beliau memang amat prihatin dan memberikan sokongan yang kritikal kepada keluarga mangsa. Semasa kami dalam GMI- Gabungan mansuhkan ISA- beliau juga telah membuka satu tabung khas untuk GMI.

Selangor menjadi antara kerajaan negeri pertama membantu keluarga 16 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) secara terbuka. Semua tahanan pada masa itu terkurung di kem Kamunting, Perak. Bantuan kewangan ini diberikan setelah kami mengadakan satu mesyuarat dengan TSKI mengumumkan bantuan tersebut di Dewan DUN secara terbuka.
Bantuan yang diberikan tersebut termasuklah menampung kos berulang-alik melawat tahanan, biasiswa pendidikan kepada anak-anak dan mencari peluang pekerjaan kepada anggota keluarga tahanan.

Khalid berkata langkah GMI sejajar dengan pendirian kerajaan negeri untuk memansuhkan ISA dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Penstrukturan Semula Air Selangor

Bagi saya satu daripada legasi terpenting TSKI adalah penstrukturan Air Negeri Selangor. Langkah melawan konsesi ini dijalankan bukan melalui cara Guthrie Dawn Raid pada 7 September 1981di tengah malam atau melalui rundingan sulit seperti di Hotel Sheraton. Tetapi Kerajaan negeri dibawah pimpinan Khalid membuat satu kempen besar, mengembeleng kuasa rakyat dan mengantar memorandum ke Istana Negara mendesak aset dikembalikan kepada rakyat Selangor.

Memorandum diserahkan kepada Pegawai Akhbar Istana Negara Khairi Abdul Rahman di perkarangan istana kira-kira 2.15 petang pada 5-12-2010. Dalam memorandum tersebut, MB TSKI berkata kandungan memorandum itu memohon Tuanku Mizan menitahkan hak air, yang kini dikendali Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), dikembalikan kepada kerajaan negeri Selangor.

Ini satu hari yang amat bermakna. Pada hari tersebut juga, 15 ribu orang bedemo. Mereka diserang dengan gas pemedih mata. Lebihkurang 50 orang ditahan termasuk saya, Dr, Nasir , Selvam. FRU mula menghalang orang ramai tetapi Tindakan TSKI akhirnya berjaya

Kerajaan Negeri mencapai persetujuan dengan Kerajaan Persekutuan dan empat syarikat konsesi untuk menstruktur semula perkhidmatan air yang yang bermula sejak 2008 itu akhirnya membolehkan semua aset air dikembalikan kepada rakyat.

“Dulu saya hanya lihat FFB, sekarang saya lihat manusia”

Saya akhiri catatan peribadi saya dengan satu Mesyuarat Meja Bulat di Bangunan SUK mengenai isu pekerja ladang Selangor. Forum meja Bulat dianjurkan oleh Exco Perladangan YB Xavier pada masa itu dan TSKI dijemput merasmikan.

TSKI melihat kepada tetamu dan apabila dia melihat saya dan Dr. Nasir, dia tersenyum dan ketawa. Dia mulakan ucapan dengan berkata,. dia memang disediakan satu text untuk dibaca tetapi dia tidak mahu membacanya kerana nak bercakap isu sektor ladang, isunya terlalu peribadi dihatinya. Dalam ucapan dia berkata, sebelum ini saya tidak faham apabila Dr Nasir, Arul semua berjuang isu pekerja ladang. Pada masa itu, bagi saya apa yang penting adalah berapa banyak FFB (fresh fruit branches) masuk dalam lori tetapi setelah saya menjadi MB, saya mula melihat dan memikirkan perkara lain yang sebelum ini saya tidak peduli seperti apakah pekerja itu makan, kebajikan mereka, tempat tinggal tempat dan sebagaianya. Saya sudah berubah. Dalam diri saya pun, saya mula melihat aspek kemanusiaan yang dilalui rakyat. Saya pun ada unsur-unsur sosialis dalam diri saya, beliau bergurau

Rumusan

Itulah sedikit catatan peribadi bagaimana Khalid Ibrahim lawan kami akhirnya menjadi kawan kami. Beliau digulingkan oleh langkah Kajang yang kejam. Beliau dikatakan bukan seorang ahli politik yang berjaya. Beliau dikatakan tidak pandai berceramah. Namun beliau berdiri tinggi kerana caranya yang berbeza dan ketegasan beliau mengendalikan isu dengan cara yang berbeza.

Beliau meninggalkan satu cara kerja dan legasi yang berbeza.

S.Arutchelvan
4 Ogos 2022

Penulis merupakan timbalan pengerusi Parti Sosialis Malaysia. Tulisan ini adalah pendapat peribadi beliau dan tidak semestinya mewakili pendirian Buletin TTKM -Editor

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.