Noh Omar nafi jadi calon PN, dakwa laporan portal ‘mengelirukan’.

Kuala Lumpur, 2 Mei: Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor hari ini menafikan bahawa beliau akan menjadi calon Perikatan Nasional pada pilihanraya negeri yang akan datang.

Dalam satu video berdurasi 1 minit 11 saat yang dimuat naik di laman facebooknya, beliau berkata ingin  membuat sedikit pembetulan, di atas apa yang disifatkannya ‘kekeliruan yang disiarkan oleh beberapa portal’ ekoran daripada kenyataan beliau semalam.

“Ada portal telah menyiarkan bahawa saya akan menjadi calon Perikatan Nasional dalam PRN yang akan datang ini.

Saya ingin menjelaskan bahawa untuk menjadi calon mana-mana parti , hanya pimpinan parti yang akan menentukan siapakah yang layak menjadi calon” katanya.

Jelasnya lagi, sehingga hari ini, beliau belum lagi menjadi ahli mana-mana parti.

“Maka adalah tidak betul untuk mengatakan saya akan menjadi calon untuk PRN yang akan datang ini. ” katanya.

Terdahulu, Berita Harian pada  April 30, 2023 melaporkan Noh Omar sah wakili PN tanding PRN di Selangor” 

“Saya sudah sebati dengan politik. Saya bukan penonton, saya mesti terbabit sama dalam pertandingan politik.

“Jika pasukan dahulu (UMNO), selepas saya berkhidmat 30 tahun tendang saya, takkan saya jadi tukang sorak sahaja,” katanya pada Majlis Ukhwah Raya.

Mengambil contoh pemain bola sepak, Noh berkata, beliau akan cari pasukan baharu kerana sebagai pemain yang hebat setelah disingkir satu pasukan, beliau akan pindah ke pasukan lain.

Pada PRU15 tahun lalu, PN melalui PAS memenangi enam kerusi Parlimen Selangor, manakala PH memenangi 16 kerusi.

Noh bagaimanapun tidak dicalonkan pada PRU15 oleh UMNO ketika itu sebelum digantung keahliannya Januari lalu.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada Januari memutuskan untuk menggantung keahlian Noh selama enam tahun atas alasan mensabotaj parti, namun Bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang itu meminta untuk dipecat.

Permintaan untuk dipecat dipersetujui Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. -Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.