100 HARI NAK MANSUHKAN TOL TAK CUKUP! – CEO KWSP

KUALA LUMPUR – Cadangan menghapuskan kutipan tol tidak boleh dimuktamadkan dalam masa 100 hari seperti digariskan dalam manifesto PH, demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Datuk Shahril Ridza Ridzuan, lapor Bernama.

Beliau berkata, kerajaan mempunyai keutamaan lain dari segi keperluan monetari yang perlu ditangani buat masa ini.

“Kami telah memberikan beberapa cadangan dan idea (kepada kerajaan) tetapi, sebarang penyusunan semula tol adalah satu mainan campur tolak di mana seseorang perlu membuat pembayaran tidak kira sama ada ia menyediakan atau tidak keseimbangan antara pengguna dan pemegang konsesi,” – Datuk Shahril Ridza

Shahril berkata, penyusunan semula tol sangat rumit kerana kepentingan semua pihak perlu diambil kira.

“Saya fikir kerajaan juga mahu berlaku adil kerana penghapusan tol dan pampasan kepada pemegang konsesi akan memindahkan beban kepada pembayar cukai, dan saya rasa (berlaku adil) adalah keutamaan kerajaan,” – Datuk Shahril Ridza

KWSP memilliki 49 peratus pegangan dalam pengendali lebuh raya bertol PLUS Malaysia Bhd, manakala unit Khazanah Nasional Bhd, UEM Group Bhd memiliki ekuiti selebihnya.

Beliau juga berkata, pelabur Malaysia perlu mempunyai keyakinan terhadap pasaran dan kerajaan, menyedari hal ini, tidak mahu melakukan apa-apa yang boleh menjejaskannya.

Sementara itu, semasa sesi soal jawab, Shahril berkata ekonomi Malaysia dijangka tidak menentu tahun ini sekurang-kurangnya sehingga Oktober.

Sentimen pelabur asing kekal tidak memasuki pasaran kerana mereka masih berhati-hati dengan keadaan semasa negara dari segi dasar ekonomi, katanya.

“Bagi jangka masa pendek, akan ada banyak ketidaktentuan kerana kerajaan masih belum menetapkan dasar pelaburan atau pemacu pasaran yang mereka mahu laksanakan.Saya jangka keadaan ekonomi tidak menentu itu akan kekal sehingga pembentangan belanjawan akan datang,” – Datuk Shahril Ridza

Janji menghapuskan tol merupakan salah satu janji utama yang dijadikan kempen oleh Pakatan Harapan pada PRU14 lepas.  Selain termaktub dalam manifesto PH, beberapa pimpinan PH membuat janji secara personal dengan menjanjikan beberapa tol di kawasan parlimen mereka akan dimansuhkan sekiranya PH menang di federal.

Lim Guan Eng :  Tol jambatan pertama Pulau Pinang dan Plus

Gobind Singh : Tol LDP di Puchong dan Damansara.

Maszlee Malik : Tol Simpang Renggam.

Setakat ini, tiada satu tol pun dimansuhkan walaupun 100 hari pemerintahan PH semakin hampir.

Ahli Majlis Penasihat Negara, Tan Sri Zeti sebelum ini berkata pada 18 Mei lepas,  pengumuman mengenai keputusan pemansuhan tol akan dibuat pada ‘minggu depan’. Sudah 10 ‘minggu depan’, masih belum ada keputusan mengenai perkara ini. -TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.