Ahli KWSP positif Covid-19: Pejabat KWSP KL ditutup

Kuala Lumpur, 11 Mac: PEJABAT Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Kuala Lumpur ditutup sehingga Jumaat ini untuk proses disinfeksi ke atas ruang pejabat dan kawasan persekitaran selepas dimaklumkan seorang ahlinya disahkan positif Covid-19.

KWSP dalam satu kenyataan berkata, ahli terbabit berurusan di pejabat KWSP Kuala Lumpur, Jalan Raja Laut pada 27 Februari lalu antara 2 hingga 2.30 petang dan disahkan positif 3 Mac lalu.

Menurut kenyataan tersebut, tiada sebarang pengesahan sama ada ahli terbabit dijangkiti Covid-19 sebelum beliau berurusan di pejabat KWSP.

“Kami sudah mengenal pasti pegawai KWSP yang berkemungkinan terdedah kepada ahli terbabit dan menghantar mereka untuk menjalani pemeriksaan.

“Pegawai lain dari pejabat itu juga dikuarantin. KWSP sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk sebarang tindakan lanjut,” 

Pejabat KWSP ini akan beroperasi semula pada Isnin ini dan KWSP juga menjalankan langkah awal pencegahan sejak Februari lalu untuk meminimumkan risiko pendedahan kepada Covid-19.

“Semua kaunter dan permukaan yang terdedah di premis KWSP dibersihkan secara berterusan sepanjang hari.

“Pegawai kaunter juga diperlukan untuk membersihkan tangan mereka setiap 30 minit selain pelawat perlu menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis KWSP,”

Bagaimanapun kaunter KWSP di lokasi lain akan beroperasi seperti biasa namun, ahli digalakkan untuk membuat transaksi secara dalam talian melalui aplikasi i-Akaun kecuali bagi urusan yang memerlukan kehadiran ke kaunter KWSP. – Buletin TTKM-

Kenyataan penuh KWSP:

Pengumuman Penting:

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah dimaklumkan bahawa seorang ahli KWSP telah disahkan positif COVID-19 dan diwadkan untuk rawatan lanjut.

Ahli tersebut telah berurusan di pejabat KWSP Kuala Lumpur, Jalan Raja Laut pada 27 Februari 2020 (2.00 – 2.30 petang) dan disahkan positif pada 3 Mac 2020. Namun, tiada sebarang pengesahan sama ada ahli tersebut telah dijangkiti COVID-19 sebelum beliau berurusan di pejabat KWSP.

Kami telah mengenal pasti pegawai KWSP yang berkemungkinan terdedah kepada ahli tersebut dan telah menghantar mereka untuk menjalani pemeriksaan. Pegawai-pegawai lain dari pejabat tersebut juga dikuarantin. KWSP sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk sebarang tindakan lanjutan.

Langkah proaktif telah diambil dengan menutup pejabat tersebut sehingga 13 Mac 2020 (Jumaat) untuk menjalankan proses disinfeksi ke atas ruang pejabat dan kawasan persekitaran. Pejabat KWSP ini akan beroperasi semula pada 16 Mac 2020 (Isnin).

Untuk makluman ahli, KWSP juga telah menjalankan langkah-langkah awal pencegahan sejak Februari 2020 untuk meminimumkan risiko pendedahan kepada COVID-19. Semua kaunter dan permukaan yang terdedah di premis KWSP dibersihkan secara berterusan sepanjang hari. Pegawai kaunter juga diperlukan untuk membersihkan tangan mereka setiap 30 minit. Pelawat-pelawat juga perlu menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis KWSP.

Sementara itu, kaunter-kaunter KWSP di lokasi lain akan beroperasi seperti biasa. Namun, ahli digalakkan untuk membuat transaksi secara dalam talian melalui aplikasi i-Akaun kecuali bagi urusan yang memerlukan kehadiran ke kaunter KWSP. Ahli juga dinasihatkan untuk mengunjungi penyedia perkhidmatan kesihatan yang terdekat sekiranya mempunyai simptom-simptom yang berkaitan, sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan memakai peralatan perlindungan diri yang bersesuaian sebelum berurusan di kaunter.

KWSP juga ingin meyakinkan semua anggota, ahli dan majikan bahawa kami sentiasa memantau perkembangan terkini COVID-19 dan akan melaksanakan sebarang langkah-langkah pencegahan yang diperlukan. Sebarang kesulitan yang dialami sewaktu pelaksanaan langkah-langkah ini adalah amat dikesali dan kami akan memaklumkan tentang situasi terkini dari semasa ke semasa.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.