Sekolah dibuka 24 Jun.

Putrajaya, 10 Jun: Semua sekolah menengah di seluruh negara yang ditutup sejak PKP pada pertengahan Mac lepas akan mula beroperasi bermula 24 Jun, kata menteri pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Walau bagaimanapun, ia hanya melibatkan para pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

“Seramai 500, 440 pelajar tingkatan lima, tingkatan 6, sijil Vokasional Malaysia, Sijil Tinggi Agama dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dari 2,440 sekolah dan beberapa ratus sekolah antarabangsa boleh beroperasi bermula Rabu 24 Jun”

Manakala murid dan pelajar lain pula akan meneruskan pembelajaran di rumah sebelum sekolah dibuka secara berperingkat.

 

Beliau berkata demikian dalam satu lintas langsung dari Putrajaya yang disiarkan oleh RTM sebentar tadi.

Katanya lagi, keputusan kementerian pendidikan untuk membenarkan sekolah beroperasi semula dibuat atas nasihat Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

Beliau turut mengingatkan  ibu bapa atau penjaga supaya memastikan hanya anak yang sihat sahaja dihantar ke sekolah.

“Jika anak itu tidak sihat atau bergejala seperti demam, batuk, selesema, sakit tekak dan sesak nafas, tolonglah jangan hantar mereka ke sekolah.

“Sebaik-baiknya, bawalah anak ini membuat pemeriksaan kesihatan yang sewajarnya,” 

 

Mengenai SOP bas sekolah, beliau berkata Kementerian Pengangkutan sedang memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) dan  ia akan dibentangkan dalam mesyuarat menteri.

“Pihak Kementerian Pengangkutan sedang memuktamadkan SOP ini dan akan dibentangkan dalam mesyuarat menteri.

“Apabila diluluskan, mereka akan membuat pemakluman kelak,”

-Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.