Pandu uji ketika PKP: Sanusi dikompaun RM1500

GEORGE TOWN: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor telah membayar kompaun RM1,500 kerana melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) berkait pandu uji sebuah pikap di Juru, Pulau Pinang, 5 Jun lalu.

Seorang pembantu Sanusi mengesahkan jumlah itu dibayar kepada Bahagian Inspektorat Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar semalam, lapor FMT.

Katanya, polis menyerahkan notis kompaun itu kepadanya semalam.

Sebelum ini, Bukit Aman dilaporkan berkata, jumlah kompaun itu akan ditentukan pihak berkuasa kesihatan kerana membabitkan undang-undang pencegahan penyakit.

Walau bagaimanapun, warganet mempersoalkan jumlah kompaun yang dikatakan kecil berbanding kesalahan yang dilakukan dan bertanyakan adakah wujud double standard dalam hal terebut.

Terbaru, satu kes di Putatan Sabah, seorang lelaki dikompaun sebanyak RM2000 atas kesalahan aktiviti berjogging di kawasan terbuka.

Dihubungi Buletin TTKM, lelaki tersebut yang enggan dinamakan berkata jarak dari rumahnya ke tempat ditahan cuma beberapa ratus meter.

Pada 5 Jun lalu, Nini Siron melalui akaun Facebooknya mendedahkan beliau ternampak Sanusi dan dua pembantunya memandu uji sebuah pikap Ford Raptor berharga RM211,000 di Juru Auto City.

Sanusi bagaimanapun menafikan beliau memandu uji kenderaan itu, sebaliknya berkata, jurujual yang memandu kenderaan itu.

Nini Siron, 36, mengambil gambar dan video ketibaan Sanusi di sebuah pusat pameran kenderaan di Juru Auto City sebelum memuat naiknya ke Facebook.

Wanita itu kemudian membuat laporan polis pada hari sama yang menjadi asas kepada siasatan terhadap Sanusi memandangkan pandu uji tidak dibenarkan ketika PKP yang mula berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Dalam satu sidang media, Sanusi mempertahankan dirinya dan memberi perumpamaan tindakan beliau itu adalah seperti melihat pokok bunga di luar kedai bunga yang ditutup.

“Saya menikmati keindahan Bunga itu, kuning merah biru jingga, saya cium wangi tak wangi. Itu dipanggil ‘test drive’ Bunga. Menikmati Bunga begitulah… Adakah saya salah sedangkan kedai Bunga tidak buka? Adakah itu langgar SOP? Adakah saya akan diambil video dan disebar MB Kedah langgar SOP”

Sanusi, MB Kedah.

Sanusi turut kesal dengan tindakan Nini yang tidak mendapatkan penjelasan sebelum memuat naik ke Facebook tetapi berjanji akan membayar denda yang dikenakan terhadapnya atau jurujual itu, jika didapati bersalah.

Beliau juga dipetik sebagai berjanji akan membelikan Nini sebuah telefon pintar lebih baik bagi membolehkannya membuat rakaman video lebih “bermanfaat”.

Kelmarin, Nini Siron bertanyakan adakah mereka yang bertanggung jawab memfitnah beliau dalam isu tersebut akan memohon maaf berikutan kompaun dikenakan kepada Sanusi.

Nini Siron, 36 turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak polis kerana memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa “undang-undang adalah harapan kami”

Sampil memanjatkan kesyukuran kerana isu tersebut selesai setelah 40 hari, Nini Siron berkata beliau hanya melakukan apa yang dirasakan perlu sebagai rakyat biasa apabila menularkan isu tersebut.

Walau bagaimanapun, tanpa memetik nama, Nini Siron mempersoalkan beberapa pihak dan “orang besar” yang lantang menyindir, memf1tnah, menga1bkan serta memaki-hamun beliau dan suami sebelum ini, untuk memohon maaf kepada beliau.

Banyak pihak telah menuduh saya membuat f1tnah. Mereka melabel saya sebagai RBA, menggelar saya sebagai anj1ng parti politik tertentu, mencela dengan kata-kata luc4h dan jij1k, menga1bkan saya, memak1 h4mun suami serta adik kakak saya. Sebagai orang besar, mereka lantang menyindir saya. Saya diserang secara peribadi juga. Hebat! Tidakkah mereka rasa berdosa atau adakah mereka terkecuali daripada dosa? Adakah mereka yang bertanggungjawab akan memohon maaf kepada saya? Anda tahu anda siapa.

-Nini Siron

Selain Menteri Besar Kedah sendiri yang menyindir Nini Siron dalam satu sidang akhbar pada bulan lepas, Buletin TTKM mendapati perkara yang sama turut dilakukan oleh Setiausaha Politik MB Kedah.

Hantaran beliau mengenai isu terbabit tidak dibuka kepada public untuk memberikan komen pada mulanya, tetapi kini sudah dipadamkan. -Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.