Skip to content

Bainun bebas atau bersalah, diketahui esok

Kuala Lumpur, 2 Mei: Nasib pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali akan diketahui esok, sama ada dibebaskan atau  disabitkan kesalahan atas dua tuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom down, yang dikenali sebagai Bella.

Penghakiman yang ditunggu segenap lapisan masyarakat itu akan dibacakan oleh hakim Mahkamah Sensyen, Izralizam Sanusi pada 10 pagi esok.

Pihak pembela menutup kes pada 9 Mac lepas selepas mengemukakan 8 saksi pembela dengan Siti Bainun sebagai saksi pembelaan pertama antaranya rakan pengasas Rumah Bonda; Pegawai Tadbir, Noor Marliana Ramlee dan SD-6, Engku Farah Hanis Abdul Jalil serta SD-8, pensyarah kanan bidang psikologi perkembangan kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai.

Perbicaraan kes itu bermula 30 Mac 2022 dan pihak pendakwaan menutup kes tersebut selepas memanggil 22 saksi.

Saksi-saksi pendakwaan  pula ialah Bella sendiri selaku saksi pendakwaan (SP) ke-18; SP-5, bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood; SP-17, pakar psikiatri, Dr Wan Asyikin Wan Azlan; SP-1, pembantu pengurus syarikat swasta, Zurianty Sudin dan SP-15, pakar bedah plastik Dr Salmi Mohamed Shukur.

Terdahulu, mahkamah dikejutkan apabila kesemua peguam bela Siti Bainn menarik diri sebelum prosiding kes bela diri bermula.

Peguam, Mohammad Farhan telah menarik diri pada 13 Januari, diikuti Nur Ellena dan Asiah. Peguam, Nur’Aminahtul Mardiah pula membuat permohonan penarikan diri ketika prosiding terbuka di mahkamah sementara Nurul Hafidzah mengambil tindakan sama dengan membuat permohonan secara bertulis.
 Hakim Izralizam Sanusi ketika itu berkata pihaknya menerima permohonan tersebut walaupun ia menjejaskan kelancaran perbicaraan yang tertangguh beberapa kali sebelum ini.
Tambahnya, perkara tersebut tidak wajar berlaku kerana tarikh sudah ditetapkan dan dipersetujui semua pihak.

“Mereka mempunyai masa mencukupi untuk membuat permohonan sekiranya mempunyai sebarang masalah.

“Bagi peguam Nur’Aminahtul, adalah menjadi tugas mahkamah meneliti permohonan itu (tarik diri), namun pada akhirnya ia adalah hak peguam itu sendiri.

“Dalam rekod mahkamah masih ada baki peguam mewakili kamu (Siti Bainun) iaitu Nurul Hafidzah Hassan dan Asiah Abd Jalil, jadi saya perlu minta mereka nyatakan pendirian.

“Saya tangguhkan (perbicaraan) esok untuk mengetahui status peguam sama ada kamu mencari peguam baharu menggantikan Nur’Aminahtul atau kekalkan Nurul Hafidzah dan Asiah,” katanya.

Terdahulu, ketika hakim Izralizam meminta penjelasan mengapa permohonan itu dikemukakan pada saat akhir, Nur’Aminahtul menjelaskan, pihaknya berbuat demikian kerana kekangan masa selain pembahagian tugasan sudah dibuat.

Pada 26 Januari lalu, tertuduh memohon prosiding bela dirinya ditangguhkan sehingga keputusan khidmat peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) diperoleh dan dia memerlukan masa sebulan bagi membuat persiapan akhir.
Bagaimanapun, Izralizam berkata, prosiding bela diri diteruskan biarpun pengasas Rumah Bonda itu tidak diwakili peguam.
Izralizam mengarahkan tertuduh yang berusia 31 tahun membaca pernyataan saksinya setebal hampir 200 muka surat agar tidak mengganggu perjalanan kes.
Pada prosiding seterusnya, mahkamah tidak membenarkan Siti Bainun membaca sebahagian besar pernyataan saksinya. Ia berkaitan tangkap layar hantaran di media sosial Facebook Zurianty dan beberapa rakaman video Bella, termasuk pada sambutan hari raya.
Ia susulan, Zilfinaz memohon supaya beberapa perenggan itu dipadamkan kerana bersifat prejudis.
Tidak lama kemudian, Siti Bainun melantik semula seorang daripada lima peguam iaitu Mohammad Farhan, yang sebelum ini menarik diri daripada mewakilinya, untuk mengendalikan kes itu.
Mohammad Farhan memohon supaya mahkamah membenarkan anak guamnya membaca semua pernyataan bertulis yang dipohon pihak pendakwaan untuk dipadamkan, dengan alasan pernyataan saksi itu tidak bersifat prejudis.
Mahkamah kemudiannya membenarkan Siti Bainun membaca dua perenggan dalam pernyataan saksinya itu.
Selepas memanggil lapan saksi, pihak pembelaan Siti Bainun menutup kesnya pada 9 Mac lalu.
Kes Bella tular di media sosial selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda.
Video berdurasi 4 minit 43 saat memperlihatkan Bella mengalami kesan parut luka dan lecur di tangan disebarkan oleh wanita tersebut di media sosial setelah melawat Bella di sebuah unit kondo di ibu kota.
Susulan itu, pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Pada 20 November tahun sama, pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja itu. -Buletin TTKM-

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Privacy Policy Designed using Magazine News Byte. Powered by

RSS
Follow by Email

Discover more from Buletin TTKM

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading