Tulis artikel kritik monarki, laporan polis dibuat terhadap Fadiah.

Kemaskini jam 3:35 PM: Fadiah di akaun twitternya berkicau mengatakan beliau telah dihubungi oleh pihak polis dan akan disiasat atas akta hasutan seksyen 4(1) dan Akta SKMM seksyen 233 di IPD Brickfield esok pada jam 4pm.


Kuala Lumpur, 10 Julai : Laporan polis dibuat terhadap aktivis Bersih, Fadiah Nadwa Fikri berhubung artikel beliau yang mengkritik monarki.

Perkara ini disahkan melalui kicauan beliau pagi tadi . Fadiah juga  mengatakan negara ini perlu belajar lebih banyak mengenai disonansi kognitif.

 

Semalam, aktivis tersebut menaikkan artikel berjudul “Jangan Engkau Cium Tangan Yang memukulmu”.  yang kemudiannya dipetik oleh portal lain dengan tajuk berita Aktivis Pakatan Gesa Mansuh Sistem Beraja, Dakwa Monarki Sudah Lapuk. 

Artikel tersebut menjadi tular di media sosial dan menimbulkan ketidak senangan sesetengah pihak.

Sebelum ini, laporan polis turut dibuat terhadap Hishamudin Rais berhubung artikel di blog beliau yang mengkritik dan menghina monarki, walau bagaimanpun beliau mendakwa blog beliau telah digodam.

“Saya nafikan. Saya mengatakan blog saya digodam dan dibajak, berdasarkan dalam 5 atau 6 hari sebelum pilihan raya lalu blog saya telah hilang selama 3 hari, ertinya ada orang boleh masuk blog saya.” – Hishamuddin Rais, atau lebih dikenali sebagai Tukar Tiub Bocor.
Berikut kami siarkan artikel asal Fadiah  tersebut  : -TTKM-

Jangan Engkau Cium Tangan Yang memukulmu

Setelah dibebaskan dari penjara, bekas pemimpin pembangkang dan bakal perdana menteri Anwar Ibrahim berkongsi perjalanan politiknya yang berliku dan mengungkapkan sesuatu yang amat mendalam – bahawa kehidupan penjaranya memberi pengajaran tentang harga kebebasan. Tiga tahun berlalu begitu sahaja. Kebebasan seorang manusia dirampas dan dirantai ke dinding penjara. Untuk mereka yang menyaksi episod politik ini, penahanan Anwar menjadi satu ketiadaan berpanjangan tanpa hujung. Dalam ketiadaan itu, masyarakat biasa terus berhadapan dengan kesusahan seharian di samping realiti yang dangkal dan terus menekan. Ada yang bertarung untuk menelusuri dan cuba memahami makna sebuah kebebasan, bilamana terpaksa hidup dalam sebuah penjara yang lebih besar, dikelilingi dinding yang tidak bisa ditembus dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Apabila 9 Mei berlaku, negara merasakan suatu kejutan yang besar. Adalah tidak mustahil untuk menyaksikan kejatuhan sebuah kerajaan autoritarian yang telah menggenggam tampuk kuasa selama 61 tahun. Tidak dapat dinafikan bahawa perubahan kerajaan antaranya telah membolehkan pembebasan bekas pemimpin pembangkang. Gambar Anwar yang ditenggelami lautan wartawan, erat dalam pelukan keluarga, akhirnya bebas dari penjara mengagumkan pandangan mata. Perayaan pembebasan itu terus berlangsung hingga ke lewat malam, di mana ribuan penyokong berhimpun di Padang Timur untuk mendengar ucapan pasca pembebasannya.

Sementara majoriti masyarakat Malaysia masih dalam keterujaan, dan cuba memahami makna perubahan yang baru berlaku dan apa ertinya untuk negara ini, perebutan kuasa dalaman di kalangan elit politik mula terserlah. Menyedari betapa rapuhnya peralihan kuasa yang telah berlaku, ada yang mula mempersoal drama yang kini berlangsung. Ada suara-suara yang tangkas menyuruh pengkritik mendiamkan diri dan sebaliknya mempercayai mereka yang memegang kepimpinan kuasa.

Pentas perebutan kuasa dalaman ini jelas berada di luar capaian masyarakat biasa – termasuklah pengundi-pengundi yang meletakkan pemimpin sekarang dalam kerajaan. Ini realiti sukar sebuah demokrasi perwakilan atau representative democracy – satu realiti yang jarang dibincangkan dan difahami di mana penyertaan politik hanya melibatkan peti undi dan mana pemerintah elit yang akan membuat segala keputusan akhir. Bagi mengekalkan realiti ini, masyarakat sering disuruh untuk menunggu lima tahun lagi jika mereka ingin mengubah kerajaan baru. Siapa yang mampu untuk menunggu lima tahun lagi? Persoalan ini mesti dijawab.

Sebarang usaha untuk memecahkan benteng yang dibina mengelilingi sistem ini bagi tujuan meluaskan ruang demokrasi agar masyarakat dapat menzahirkan kewujudan politiknya sering kali dibalas dengan kritikan dan teguran keras. Kesannya, kuasa untuk membentuk masa depan dan arah tuju negara kekal di tangan ‘sebilangan kecil yang istimewa’ atau privileged few, dan terus menerus mengasingkan suara masyarakat terbanyak, khususnya mereka yang terpinggir. Demokrasi tulen yang menetapkan masyarakat sebagai denyut jantungnya makanya tidak pernah kesampaian.

Perebutan kuasa dalaman tanpa akhir ini melangkah tingkat baru apabila gambar Anwar, membongkok sambil mencium tangan Sultan Johor muncul di internet. Memandangkan wujudnya hubungan tegang antara perdana menteri sekarang dengan monarki, tidak menghairankan mengapa yang dikatakan bakal perdana menteri melakukan sedemikian. Apa yang meresahkan tentang perlakuan yang diabadikan gambar itu adalah budaya feudal yang tidak boleh dipertahankan dan implikasi besar yang disampainya.

Dalam melawan lupa, kita perlu diingatkan bahawa rata-rata di dunia, kewujudan monarki telah lama lapuk ditelan zaman. Sejarah menunjukkan bahawa absurditas institusi ini tidak lagi boleh diterima, dipertahan, dan diwajarkan. Meletakkan satu kelas manusia lebih tinggi daripada manusia lain hanya kerana mereka dilahirkan di kalangan golongan bangsawan adalah satu pemikiran yang memualkan – satu permikiran yang bertentangan dengan nilai kebebasan dan martabat insani.

Tatkala masyarakat terus bangkit merampas kembali makna kebebasan dan martabat insani dalam dunia yang penuh dengan kekuasaan yang menindas, konsep perhambaan yang tidak lagi boleh dipertahankan ini menimbulkan beberapa persoalan yang perlu dirungkai. Mengapa golongan yang darahnya merah, semerah darah mereka yang dipaksakan kepatuhan kepada golongan itu mempunyai hak keistimewaan tersendiri? Mengapa golongan yang memerah hasil keringat mereka yang bersusah payah berjuang untuk terus hidup dan mencari kehidupan yang manusiawi perlu diberikan layanan dan pemujaan persis tuhan? Mengapa golongan yang dikurniakan secara mutlak mengikut budi bicara sendirinya kuasa besar dan kekayaan yang dirampas daripada mereka yang diperhambakan, kebal daripada kepertanggunjawaban?

Jawapan kepada persoalan ini membawa kita kepada satu kesimpulan jelas: bukan sahaja monarki anti demokrasi, malah ia serangan langsung ke atas martabat kita sebagai manusia. Tatkala penyokong peninggalan kuno ini menghujahkan bahawa monarki sebagaimana wujudnya pada hari ini hanyalah perhiasaan perlembagaan yang neutral, realiti menunjukkan sebaliknya. Kita harus melihat melampaui apa yang tertulis di dalam Perlembagaan untuk memahami politik yang diamalkan institusi ini, kepentingan siapa yang ia wakili, dan di pihak mana ia berada.

Sebulan sebelum pilihanraya umum, putera raja Johor, atau lebih dikenali sebagai TMJ, tanpa teragak-agak menyatakan kepada semua untuk tidak menjatuhkan kerajaan – kerajaan yang memerintah negara dengan kuku besi selama 61 tahun. Tindakannya dalam mengungkapkan kata-kata itu sebelum pilihanraya, tatkala masyarakat terbanyak dirasuk kemarahan, bersusah payah berjuang untuk membebaskan diri daripada situasi menindas sekian lamanya, adalah sesuatu yang dirancang.

Perlakuan ini jelas dilaksanakan atas dasar ketakutan kepada sesuatu yang tidak diketahui – ketakutan hilangnya keistimewaan dan kuasa yang diberikan oleh kerajaan yang menindas yang mana turut bersubahat dalam memperhambakan masyarakat, sekiranya perubahan kerajaan berlaku. Perlakuan seperti ini bukanlah sesuatu yang terpencil dan ia adalah bukti bahawa institusi ini tidak pernah berlaku neutral. Jelas sekali bahawa ia tidak pernah memihak kepada masyarakat terbanyak. Mereka yang percaya bahawa institusi kuno ini adalah satu simbol penyatuaan, dengan memihak kepada penindas sementara masyarakat terbanyak dinafikan hak untuk kehidupan yang baik dalam negara yang dibina atas dasar kekuasaan, ketidaksamarataan, dan eksploitasi hanya akan membangkitkan satu penyatuan: penyatuaan dalam penindasan.

Untuk bebas bukan dan tidak boleh bermakna bahawa kita hanya bebas daripada dinding penjara konkrit yang jelas di mata. Kebebasan mestilah bermaksud kita secara kolektif bebas daripada batas dinding yang telah lama dibina untuk merampas martabat insani kita, batas-batas dinding yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Untuk bebas, kita perlu bersama tanpa lelah bangkit dan melawan segala bentuk kekuasaan yang menindas. Sepertimana yang dinyatakan oleh Judith Butler:

“Sesungguhnya, jika perlawanan adalah untuk membawa satu cara hidup yang baru, satu kehidupan yang lebih baik yang menentang agihan kepayahan yang berbeza keberatannya atau differential distribution of precarity, aksi perlawanan itu perlu menyatakan tidak kepada satu cara hidup dan pada masa yang sama menyatakan ya kepada satu cara hidup yang lain. Bagi tujuan ini, kita mestilah mempertimbangkan kesan-kesan performatif aksi padu ini dalam erti kata Arendtian. Pada pandanganku, aksi padu yang melakar perlawanan yang juga kadangkala boleh ditemui dalam ucapan lisan atau perjuangan heroik boleh juga ditemui dalam gerak tubuh yang menyatakan keengganan, diam, pergerakan, keengganan untuk melakukan pergerakan, yang melakar gerakan-gerakan yang membina prinsip-prinsip demokrasi berkenaan kesamarataan dan prinsip-prinsip ekonomi saling kebergantungan dalam aksi yang ingin membina cara hidup baru yang secara radikal lebih demokratik dan saling bergantungan.” – Fadiah Nadwa Fikri

 



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik:

Exit mobile version