Pelantikan Latheefa tidak selari dengan janji PH – Nik Nazmi

PELANTIKAN LATHEEFA KOYA SEBAGAI KETUA PESURUHJAYA SPRM

Oleh : Nik Nazmi

Saya mengambil perhatian akan pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Latheefa merupakan seorang peguam dan aktivis hak asasi manusia. Selain daripada kes berprofil tinggi, beliau merupakan salah seorang peguam yang mewakili saya dalam perbicaraan-perbicaraan saya yang berkait dengan Akta Perhimpunan Awam—dan saya berterima kasih atas penglibatan beliau tersebut.

Namun begitu, pelantikan beliau di SPRM telah menimbulkan tanda tanya kepada persoalan yang harus ditangani dengan segera.

Latheefa, sehingga beberapa hari lepas, merupakan seorang anggota KEADILAN. Pada penggal lepas, beliau merupakan seorang Ahli Majlis Pimpinan Pusat. Walaupun beliau telah meletakkan jawatan daripada parti, tindakan tersebut dilakukan selepas pelantikan beliau.

Oleh itu, kebimbangan terhadap ketidakadilan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM—yang merupakan institusi awam yang penting dalam proses reformasi negara—tidak boleh dipandang sebelah mata.

Apa yang lebih penting ialah, seperti yang dilaporkan oleh media, cara pelantikan beliau diputuskan oleh Perdana Menteri sendiri, dan ini tidak selari dengan janji-janji yang dibuat oleh Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum yang lepas.

Janji ke-14 Buku Harapan jelas menyatakan bahawa di bawah kerajaan Pakatan Harapan: “SPRM akan melapor terus kepada Parlimen, dan bukan lagi kepada Perdana Menteri. Untuk memastikan semak imbang yang efektif, bilangan Pesuruhjaya SPRM akan ditambah dengan mewujudkan kuota untuk pertubuhan masyarakat sivil menjadi ahli SPRM. Salah seorang dari mereka akan menjadi Pengerusi SPRM, dan semua pesuruhjaya akan mempunyai jaminan pelantikan tetap (security of tenure). Pelantikan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya SPRM perlu disahkan secara demokratik oleh Parlimen.”

Benar bahawa pindaan undang-undang belum lagi dilakukan untuk memberi ruang kepada janji-janji ini, termasuk pengesahan Pesuruhjaya oleh Parlimen.

Walau bagaimanapun, pelantikan tersebut sepatutnya dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam untuk menunjukkan bahawa kerajaan pusat Pakatan Harapan berniat untuk mengotakan janji-janjinya.

Kita tidak boleh menyalahkan para pengundi sekiranya mereka bersikap sinis atau ragu-ragu akan cubaan kita untuk mentadbir negara sekiranya kita tidak boleh mengotakan janji semudah itu.

Perkara ini tiada kena mengena dengan kelayakan Ketua Pesuruhjaya tersebut atau kepentingan politik beliau semasa masih dalam parti.

Apa yang pasti, dan rakyat mempunyai hak untuk menduga, adalah bahawa beliau akan menjalankan tugas dengan saksama.

Namun, cara pelantikan beliau menjadi tumpuan perhatian kerana ia menimbulkan persoalan tentang komitmen kerajaan kepada agenda reformasi.

Kita telah dilantik atas dasar reformasi institusi dan ekonomi.

Kekurangan kemajuan kita dalam kedua-dua aspek tersebut amat membimbangkan.

Kerajaan Pakatan Harapan harus mengambil perhatian akan isu ini sekiranya berhasrat mengekalkan sokongan rakyat Malaysia untuk maju ke hadapan, dan lebih penting lagi, memastikan kita tidak mengulangi kesilapan yang lepas.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.