Saya masih lagi MB Kedah, kerajaan PH Kedah belum jatuh – Mukhriz

Alor Setar, 13 Mei: Dato Seri Mukhriz Mahathir hari ini berkata beliau  masih lagi menteri besar Kedah dan kerajaan Pakatan Harapan belum lagi tumbang  walaupun pembangkang mendakwa beliau telah hilang sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Suasana politik di Kedah masih lagi terkawal, saya masih lagi menteri besar dan kerajaan masih lagi wujud, maka tidak benarlah dakwaan dari mana-mana pihak bahawa kerajaan ini telah jatuh semalam, 

“Ada beberapa proses lagi yang perlu dilaksanakan termasuklah yang melibatkan kebawah Duli Tuanku Sultan Kedah sebelum perkara seperti itu boleh berlaku.

“Jadi, sebelum ia berlaku maka kerajaan ini masih lagi beroperasi seperti biasa dan sebab itu saya punya mesyuarat exco pun boleh berlangsung hari ini,”  – Dato Seri Mukhriz Mahathir

Katanya lagi, exco telah memutuskan  bahawa untuk memastikan Menteri Besar masih mempunyai sokongan majoriti ataupun tidak, Sultan  Kedah akan disyorkan bahawa perkara itu ditentukan melalui sidang dewan.

“Saya ingat cara itu lebih terbuka dan pihak pambangkang sekiranya mereka berhasrat boleh mengusulkan undi tidak percaya atau pihak kerajaan boleh usulkan undi percaya” – Dato Seri Mukhriz Mahathir

Mukhriz berkata demikian setelah mempengerusikan mesyuarat exco hari ini, ketika menjawab soalan pemberita.

Mengulas mengenai Akuan Bersumpah yang dibuat 23 ADUN termasuk dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), beliau menjelaskan semua ADUN Pakatan Harapan dan BERSATU sudah menandatangani SD menyokong beliau kekal sebagai Menteri Besar sebelum ini.

“Ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan di Pusat, saya balik ke sini dan berjumpa semua ADUN PH dan BERSATU bagi mewujudkan kerajaan negeri PH campur BERSATU.

“Saya tidak mengatakan SD tidak boleh dipakai, namun Ketua Pembangkang (Muhammad Sanusi Md Nor) perlu melalui proses betul kerana pada sidang media beliau, tidak nampak 23 ADUN jadi bagaimana kita mahu pastikan sokongan berkenaan,”  – Mukhriz Mahathir

Semalam, PN Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk daripada BERSATU.

Muhammad Sanusi dilaporkan berkata 23 ADUN terbabit adalah 15 daripada PAS, BERSATU (empat), UMNO (dua) dan dua bekas ADUN PKR.

Berikutan itu, komposisi DUN Kedah menyaksikan perubahan apabila PAS kini menguasai 15 kerusi, manakala PKR (lima), AMANAH (empat), BERSATU-Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat), BERSATU-Tun Dr Mahathir Mohamad (dua), UMNO (dua) dan BEBAS (dua). -Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.