Serangan ke atas PM di FB Jokowi kurang ajar, calar maruah negara – Mat Jargon

JANGAN CALARKAN MARUAH NEGARA, KITA BANGSA BERADAB

Sebagai sebuah demokrasi, Malaysia membuka seluas-luasnya peluang untuk bersuara dan berbeza pendapat seperti yang dijamin oleh Perlembagaan. Namun begitu, negara telah dikejutkan dengan serangan ke atas Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin di media sosial minggu lepas.

Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengecam sekeras-kerasnya serangan-serangan yang bersifat kurang ajar dan mencalarkan maruah negara, terutamanya apabila kata-kata kesat ini turut dilontarkan termasuk di laman media sosial milik pemimpin negara jiran, Presiden Joko Widodo.

Lawatan ke Indonesia adalah sebuah misi diplomasi penting antara dua negara serumpun yang berkongsi bahasa, budaya dan pertalian darah. Antara yang dibincangkan ialah kerjasama ekonomi yang bakal memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara. Amatlah tidak patriotik untuk rakyat Malaysia menjatuhkan air muka negara sedemikian rupa.

Perbuatan ini tidak melambangkan budi bahasa kita sebagai rakyat Malaysia yang menjujung kesopanan dan kesusilaan sebagai salah satu prinsip Rukun Negara. ARMADA Bersatu Malaysia memberi amaran agar perbuatan tidak beradab ini dihentikan serta-merta sebelum ia menjadi barah. Jadikanlah prinsip Rukun Negara ini sebagai panduan.

Ketegangan politik yang tidak berkesudahan hanya akan merugikan negara. Walaupun pandangan politik kita berbeza, ingatlah bahawa niat tidak sekali-kali menghalalkan cara. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal
Ketua ARMADA Nasional
Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional 1

09 Februari 2021

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.