“Belajar Bahasa Melayu!” – Rais Yatim tegur AG Tommy Thomas

KUALA LUMPUR , 6 Julai :  Mantan penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Rais Yatim menegur Peguam Negara, Tommy Thomas supaya bertutur dalam Bahasa Melayu. Tambah beliau lagi, sekiranya boleh belajar Bahasa Inggeris, maka tidak menjadi persoalan untuk belajar Bahasa Melayu, lapor Malaysiakini.

Rais Yatim merujuk kepada peruntukan Perkara 152 (a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan keperluan menggunakan bahasa Melayu semasa melaksanakan urusan rasmi kerajaan.

Rais turut kesal apabila pembukaan prosiding mahkamah tidak dilakukan dalam Bahasa Melayu.

“Dalam hal yang demikian AG perlulah berbahasa Melayu. Bukan susah, kalau boleh belajar bahasa Inggeris kenapa tak boleh belajar bahasa Melayu? Bukan semua hujah di mahkamah tak dibenarkan berbahasa Inggeris tapi dalam mukadimah, (pembukaan) tirai pentas mestilah dibuat dalam bahasa Melayu. Ini tak dibuat (oleh Thomas) dan saya kesal,”  Rais Yatim.

Rais yang memiliki ijazah doktor falsafah dalam hal perundangan turut berkata, apabila menghadiri perbicaraan sebelum ini beliau tetap berhujah menggunakan bahasa Melayu walaupun hakim mengizinkan ia dijalankan dalam bahasa Inggeris.

Sebagai pencinta bahasa Melayu, Rais berkata, pemimpin dan pegawai kanan kerajaan di negara ini harus sedar bahawa bahasa berkenaan boleh menjadi pengukuh kesatuan di kalangan masyarakat dan negara.

“Takkan kita nak jadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi. Apabila ini berlaku, apabila pemimpin tak kisah nak bercakap bahasa Melayu (atau tidak) maka menjunamlah binaan negara kita. Ini yang harus dilihat. Dan jatuhnya rukun negara kita (adalah) sebab kita tak menghormati rukun negara kita. Jatuhnya bangsa Malaysia sebab kita tak boleh dan mahu bercakap bahasa Melayu, jadi bahasa Melayu tak ada nilai komersialnya,” – Rais Yatim

4 Julai lalu, berlaku kekecohan apabila Tommy Thomas membatalkan sidang akhbar beliau kerana tidak dapat melakukannya dalam Bahasa Melayu seperti yang diminta penyokong Najib.

Penguasaan Bahasa Melayu Tommy Thomas yang lemah turut ditegur oleh mufti Perlis, Dr Asri.

TommyThomas 060618
Tommy Thomas tersengih – Gambar The Star

Ketika sidang akhbar beliau yang pertama, Tommy mengakui beliau mengabaikan Bahasa Melayu selama 42 tahun berkhidmat dalam bidang guaman komersil. Beliau berjanji akan menggilapnya.

Semalam, TTKM menaikkan satu video parodi lagu “Gunakanlah Bahasa Kebangsaan Kita” di facebook page dan setakat ini mendapat lebih 900 perkongsian.

Dalam video tersebut, diselitkan juga video dua orang Mat Salleh, Mat Dan dan  Ryhys William yang fasih berbahasa Melayu walaupun baru menetap di Malaysia beberapa tahun – TTKM-

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.